ad
BERITA UTAMA

EXCO: Sistem parkir pintar tingkat keselamatan, kadar caj kekal

16 Jul 2025, 1:00 AM
EXCO: Sistem parkir pintar tingkat keselamatan, kadar caj kekal

Oleh Yasmin Ramlan

SHAH ALAM, 16 JULAI: Kerajaan Selangor memberi jaminan kadar parkir tidak berubah meskipun sistem Smart Intelligent Parking (SIP) dilaksanakan bermula Ogos ini.

EXCO kerajaan tempatan berkata pelaksanaan SIP bertujuan meningkatkan tahap keselamatan dan pengurusan tempat letak kereta melalui sistem digital dan kecerdasan buatan (AI) sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap penguatkuasaan manual.

Jelas Dato’ Ng Suee Lim, syarikat konsesi yang bakal dilantik akan melabur sebanyak RM200 juta, termasuk pemasangan 1,800 unit CCTV di lokasi strategik sebagai langkah pencegahan jenayah dan pemantauan penguatkuasaan.

“Kuasa penguatkuasaan kekal di bawah pihak berkuasa tempatan mengikut undang-undang sedia ada, manakala pihak konsesi akan mengendalikan operasi teknikal dan khidmat pelanggan.

“Kerjasama ini dapat mengurangkan keperluan tenaga kerja berlebihan sambil memperkenalkan pendigitalan dan penguatkuasaan berasaskan AI,” katanya dalam sidang media di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri di sini, hari ini.

Beliau menambah bahawa sebarang kenaikan kadar parkir pada masa depan perlu mendapat kelulusan kerajaan negeri dan persetujuan pihak berkuasa tempatan.

Suee Lim berkata perjanjian konsesi akan dimeterai antara pihak berkuasa tempatan, anak syarikat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) iaitu Rantaian Mesra Sdn Bhd, dan pihak konsesi.

Perkara ini berbeza daripada kenyataannya pada 9 Julai lalu ketika mengumumkan penswastaan sistem parkir majlis melalui SIP.  Suee Lim memaklumkan bahawa dalam pelaksanaan baharu itu, MBI telah melantik Rantaian Mesra untuk melaksanakan SIP, dengan hasil kutipan parkir diagihkan seperti berikut: 10 peratus kepada MBI, 40 peratus kepada pihak berkuasa tempatan dan 50 peratus kepada Rantaian Mesra.

Fasa pertama dijadual bermula 1 Ogos, melibatkan empat pihak berkuasa tempatan: Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Majlis Bandaraya Subang Jaya, Majlis Bandaraya Shah Alam, dan Majlis Perbandaran Selayang.

Antara objektif utama sistem ini adalah untuk meningkatkan kadar pematuhan parkir, yang kini hanya sekitar 30 peratus, serta mengurangkan isu seperti parkir berganda dan kekurangan penguatkuasaan.

Suee Lim berkata idea pelaksanaan SIP ini diinspirasikan daripada model pengurusan sisa negeri yang dikendalikan oleh KDEB Waste Management, anak syarikat MBI, selepas bertahun-tahun prestasi lemah oleh kontraktor terdahulu.

“Kita mahu melaksanakan pendekatan yang sama seperti pengurusan sisa. Lebih tujuh tahun lalu, kutipan sampah dikendalikan oleh Alam Flora dan Hebat Abadi, tetapi masalah terus berlaku.

“Akhirnya, kita wujudkan konsesi KDEB Waste Management dan lantik mereka untuk urus kutipan sampah di semua pihak berkuasa tempatan. Ini model yang ingin kita guna untuk parkir, di mana MBI turut berperanan dalam pengurusannya,” katanya.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.