ad
EXCO

Sistem parkir baharu tingkat hasil, penguatkuasaan kekal bawah PBT

15 Jul 2025, 2:58 PM
Sistem parkir baharu tingkat hasil, penguatkuasaan kekal bawah PBT
Sistem parkir baharu tingkat hasil, penguatkuasaan kekal bawah PBT

Oleh Yasmin Ramlan

SHAH ALAM, 15 JULAI: Kerajaan Negeri optimis pelaksanaan sistem Smart Intelligent Parking (SIP) mulai 1 Ogos ini akan meningkatkan kutipan hasil tempat letak kereta dalam jangka masa panjang meskipun terdapat kemungkinan penurunan sementara pada peringkat awal.

EXCO Kerajaan Tempatan Dato’ Ng Suee Lim berkata, penurunan kutipan pada fasa permulaan adalah perkara biasa ketika sistem baharu diperkenalkan namun struktur itu diyakini memberi pulangan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Mungkin alami sedikit kerugian pada mulanya, tetapi yang penting sistem kutipan berpusat dan bersepadu dapat dilaksanakan, dengan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI berperanan mewakili Kerajaan Negeri,” katanya pada sidang media berhubung pelaksanaan konsesi tempat letak kenderaan di Selangor di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) hari ini.

[caption id="attachment_710588" align="aligncenter" width="1079"] EXCO Kerajaan Tempatan Dato’ Ng Suee Lim pada sidang media berkaitan Selangor Intelligent Parking (SIP) di Bangunan SUK, Shah Alam pada 15 Julai 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR[/caption]

Di bawah sistem SIP, pengurusan parkir akan dikendalikan Rantaian Mesra Sdn Bhd syarikat yang dipilih melalui proses penilaian daripada 26 syarikat lain.

Hasil kutipan akan dibahagikan 40 peratus kepada PBT, 10 peratus kepada MBI dan 50 peratus syarikat konsesi.

Bagaimanapun, Suee Lim menjelaskan angka berkenaan masih dalam proses dimuktamadkan.

Beliau memaklumkan kutipan semasa hasil parkir hanya berada pada paras 30 peratus, dan SIP dirangka bagi meningkatkan prestasi tersebut secara berperingkat. Sistem dijangka mencapai tahap optimum dalam tempoh tiga tahun.

Tambah Suee Lim, syarikat konsesi akan menanggung kos awal pemasangan infrastruktur termasuk peralatan penguatkuasaan berasaskan kecerdasan buatan (AI) serta peningkatan sistem rondaan dan operasi teknikal.

“Jika kutipan tidak capai sasaran, syarikat itu sendiri akan terjejas. Jadi mereka perlu memastikan sistem berjalan baik dan hasil diagih balik kepada PBT,” katanya yang turut menegaskan penguatkuasaan kekal di bawah PBT manakala syarikat konsesi hanya bertanggungjawab terhadap aspek teknikal dan khidmat pelanggan.

Kerajaan Negeri menjangkakan model baharu itu mampu mengurangkan kebergantungan kepada penguatkuasaan manual, menyepadukan teknologi digital dalam sistem parkir, serta

memperkemas tadbir urus dan integriti kutipan.

Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari menegaskan lantikan syarikat Rantaian Mesra Sdn Bhd bagi mengendali kutipan bayaran parkir kenderaan bukannya dilakukan secara terus sebaliknya terbuka.

Beliau berkata syarikat yang dilantik menerusi MBI itu dilakukan selepas penilaian dibuat membabitkan 26 syarikat lain.

"Peratusan kutipan boleh dibincangkan semula tetapi diingatkan prosesnya bukan 'direct nego' (rundingan terus) sebab 26 syarikat lain juga buat penilaian.

"MBI meletakkan kepentingan negeri dan tidak melepaskan kepada mana-mana pihak sepenuhnya," katanya pada majlis jalinan sinergi dan apresiasi rakan strategik PLATS 2025 di Foyer SUK hari ini.

Bermula 1 Ogos ini, Rantaian Mesra Sdn Bhd akan melaksana kutipan parkir kenderaan di empat pihak berkuasa tempatan iaitu Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) serta Majlis Perbandaran Selayang (MPS).

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.