ad
BERITA UTAMA

UIS jalin kerjasama strategik bangun ekosistem pendidikan holistik

14 Jul 2025, 9:00 AM
UIS jalin kerjasama strategik bangun ekosistem pendidikan holistik
UIS jalin kerjasama strategik bangun ekosistem pendidikan holistik
UIS jalin kerjasama strategik bangun ekosistem pendidikan holistik

OLEH UFAIRAH TARMIDZI

SHAH ALAM, 14 JULAI: Universiti Islam Selangor (UIS) terus memperkukuh kedudukannya dalam landskap pendidikan tinggi Islam dengan memeterai memorandum persefahaman (MoU) bersama beberapa rakan strategik sebagai usaha membina ekosistem pendidikan yang lebih dinamik dan holistik.

Naib Canselornya, Dato’ Prof Dr Mohd Farid Ravi Abdullah berkata, inisiatif tersebut adalah sebahagian daripada komitmen universiti untuk merangka semula pendekatan pendidikan tinggi Islam agar lebih sejajar dengan keperluan semasa dan kehendak industri.

“MoU ini bukan sekadar dokumen rasmi tetapi satu langkah ke arah memperkukuhkan bidang pendidikan, penyelidikan serta menyediakan lebih banyak peluang latihan industri untuk pelajar kami.

“Kita menjangkakan lebih banyak MoU akan dimeterai bersama agensi-agensi berkaitan selepas ini bagi memastikan pelajar UIS benar-benar bersedia untuk menyumbang secara signifikan dalam pelbagai sektor,” tambah beliau.

[caption id="attachment_710369" align="aligncenter" width="733"] Naib Canselor Universiti Islam Selangor (UIS), Dato’ Prof Dr Mohd Farid Ravi Abdullah ketika ditemui pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara UIS dan rakan strategik serta rakan komersial di Hotel Concorde, Shah Alam pada 14 Julai 2025. Foto UFAIRAH TARMIDZI / MEDIA SELANGOR[/caption]

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas Majlis Menandatangani MoU antara UIS dan rakan strategik serta rakan komersial di Hotel Concorde, di sini hari ini.

Majlis tersebut turut menyaksikan termeterainya kerjasama antara UIS dengan enam agensi iaitu Kumpulan Pantai Bharu, Malaysian Islamic Tourism Development Association (MiTDA), XOG Consultancy, SixtySix Academy, Uni Assist Malaysia dan Bank Islam Malaysia Berhad.

Sementara itu, Presiden MiTDA, Kapten Mahadzir Tan Sri Mansor menyatakan bahawa MoU yang dimeterai bersama UIS memberi tumpuan kepada pengukuhan dalam bidang pendidikan pelancongan Islam selaras dengan usaha MiTDA mempromosikan budaya Islam Malaysia di peringkat antarabangsa.

[caption id="attachment_710370" align="aligncenter" width="714"] Presiden Malaysian Islamic Tourism Development Association (MiTDA), Kapten Mahadzir Tan Sri Mansor ketika ditemui pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara UIS dan rakan strategik serta rakan komersial di Hotel Concorde, Shah Alam pada 14 Julai 2025. Foto UFAIRAH TARMIDZI / MEDIA SELANGOR[/caption]

Beliau turut menjelaskan bahawa inisiatif ini akan membuka ruang kepada program pertukaran pelajar antara UIS dengan institusi luar negara khususnya dengan negara-negara yang menunjukkan minat terhadap pelancongan berteraskan nilai Islam.

“Kami dalam perbincangan untuk memulakan program pertukaran pelajar seawal hujung tahun ini dengan negara China antara negara yang paling berminat kerana mereka mahu melihat sendiri bagaimana budaya Islam diamalkan secara harmoni dalam masyarakat majmuk di Malaysia.

“Melalui program ini, pelajar antarabangsa dapat mengalami sendiri budaya, warisan, dan sistem pendidikan Islam di negara kita,” tambahnya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.