SHAH ALAM, 14 JULAI: Pengusaha taman asuhan kanak-kanak (taska) diingatkan tidak mempertaruhkan keselamatan kanak-kanak bawah jagaan mereka dengan menjalankan perniagaan secara tidak sah.
Pensyarah Jabatan Pengajian Awal Kanak-Kanak Fakulti Pendidikan dan Sains Sosial, Universiti Selangor (Unisel) berkata walaupun proses pendaftaran Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) ketat dan melibatkan kos yang tinggi namun ia wajib dipatuhi kerana melibatkan nyawa kanak-kanak.
"Nak berniaga air balang pun ada peraturan, lesen, ambil (suntikan) tifoid, kursus pengendalian makanan dan sebagainya, apatah lagi perniagaan libatkan isu keselamatan, nyawa anak-anak, mestilah (syarat) agak ketat. Mungkin mahal tetapi dia nak (taska) beroperasi, kenalah bayar.
[caption id="attachment_710311" align="alignleft" width="273"] Pensyarah Jabatan Pengajian Awal Kanak-Kanak Fakulti Pendidikan dan Sains Sosial Unisel, Zarina Basry[/caption]
"Kalau ada usahawan yang nak buka taska, kenalah usahakan juga untuk daftar walaupun prosesnya banyak berbanding buka perniagaan makanan dan minuman. Buka taska ini ada tanggungjawab dan amanah yang besar," kata Zarina Basry kepada Media Selangor.
Beliau menjelaskan segelintir pengusaha enggan mendaftar kerana beban kewangan melibatkan ubah suai bangunan, kurang kesedaran mengenai risiko musibah pada masa hadapan selain menganggap beroperasi di rumah tidak perlu didaftarkan.
Zarina menegaskan ibu bapa tidak boleh berkompromi dengan taska yang tidak berdaftar hanya kerana yuran bulanan rendah sebaliknya mereka perlu meminta pengusaha menunjukkan sijil kebenaran operasi sebelum menghantar anak.
"Tujuan utama pilih taska berdaftar kerana keselamatan anak-anak selain kualiti asuhan. Sayangnya tidak semua taska yang berdaftar. Sekarang macam-macam isu kita dapat, rupa-rupanya taska itu tidak berdaftar.
"Bila berdaftar, kita dapat pastikan persekitaran terbaik untuk anak-anak. Apabila persekitaran baik, anak-anak lebih selamat, terjaga dan anak-anak juga dilindungi insurans," katanya lagi.