SHAH ALAM, 10 JULAI: Kajian pembinaan Jajaran Rel Kita Selangor kini berada di peringkat akhir dan pelan tersebut akan dibentangkan kepada Kerajaan Persekutuan bagi membangunkan sistem pengangkutan awam negeri itu.
EXCO Mobiliti Ng Sze Han berkata Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) telah melantik pasukan perunding untuk menjalankan kajian projek tersebut untuk mendapatkan input dan maklum balas bagi menghasilkan laporan kajian yang tepat serta komprehensif.
“UPEN juga sedang mengenal pasti negara yang ditanda aras menguruskan amalan kewangan terbaik bagi pengurusan sistem pengangkutan awam yang boleh dilaksanakan pada pembangunan rel di peringkat negeri.
“Kerajaan Negeri juga akan melaksanakan pembentangan susulan kepada Kementerian Pengangkutan Malaysia selepas kajian kebolehlaksanaan selesai dilaksanakan untuk mendapatkan maklum balas,” katanya pada Sidang Dewan Negeri.
Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan usul Peraturan 76(5), Peraturan-peraturan Tetap Dewan Negeri Selangor berhubung Perancangan Strategik Mobiliti Di Negeri Selangor.
Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Pertanian dan Infrastruktur (JPK-INFRAGRO) Azmizan Zaman Huri mengemukakan usul agar Kerajaan Negeri mengelak perbelanjaan yang tidak wajar dengan mengenal pasti fasa pelaksanaan projek yang dapat mengutamakan keperluan berdasarkan bajet yang terhad.
“Pelaksanaan projek ini masih dalam fasa perancangan dan tertakluk kepada kelulusan daripada Kerajaan Negeri. Kos merupakan cabaran terbesar. Jajaran ini dijangkakan akan memerlukan kos keseluruhan sebanyak RM48.5 bilion.
“Pihak UPEN telah merangka model aliran tunai dan mendapati hanya kos pengoperasian sahaja yang akan dapat ditampung oleh hasil kutipan tambang.
“Kutipan tambang dijangkakan tidak mampu untuk menampung kos perbelanjaan membangun (CAPEX) dan apa-apa faedah pinjaman yang terlibat,” kata Ahli Dewan Negeri Pelabuhan Klang itu.