SHAH ALAM, 10 JULAI: Penggantian tanah rizab Melayu telah diputuskan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN), namun prosesnya memakan masa lama kerana melibatkan Kanun Tanah Negara.
Dato' Menteri Besar berkata penggantian tanah tersebut perlu diputuskan segera supaya projek berkepentingan rakyat tidak tergendala sekali gus menyebabkan kadar faedah hutang meningkat.
"Keputusan penggantian tanah ditetapkan MMKN tetapi prosesnya mengambil masa jauh lebih panjang kerana ia melibatkan Kanun Tanah Negara. Kalau ada perubahan ia terpaksa dilakukan secepat mungkin setelah penasihat undang-undang menasihat kita melakukannya segera.
"Kadang-kadang projek yang memerlukan keputusan segera seperti Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), jika ditangguhkan perlu ambil masa setahun dan akibatkan kadar faedah hutang meningkat di peringkat nasional.
"Selain itu Sungai Rasau jika lambat dibina, negeri akan gagal sediakan bekalan air dan margin yang mana sekarang 18 peratus dan dijangka mencapai 20 ke 25 peratus menjelang 2030," katanya pada sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.
Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan usul Peraturan 76(5), Peraturan-peraturan Tetap Dewan Negeri Selangor berhubung Penyata Jawatankuasa Kira-Kira Wang Kerajaan (PAC).
Terdahulu, Amirudin memaklumkan penyata Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) atau laporan audit bukanlah bertujuan menunding jari kepada mana-mana pihak sebaliknya membetulkan ekosistem dan kaedah kerja.
"Laporan hasil kewangan negeri ini penggunaannya digunakan semaksium mungkin supaya sampai ke sasaran ditetapkan dengan menolak isu rinci," katanya.