ad
BERITA UTAMA

Langgar peraturan urus tadbir, 87 jawatankuasa masjid dipecat

7 Jul 2025, 10:00 AM
Langgar peraturan urus tadbir, 87 jawatankuasa masjid dipecat
Langgar peraturan urus tadbir, 87 jawatankuasa masjid dipecat

Oleh Dewi Abdul Rahman

SHAH ALAM, 7 JULAI: Kerajaan Selangor mengambil tindakan tegas menamatkan perkhidmatan 87 jawatankuasa pengurusan masjid susulan pelbagai pelanggaran peraturan melibatkan urus tadbir.

EXCO Agama Islam Dr Mohammad Fahmi Ngah menegaskan tiada rayuan diberikan sekali gus memberi isyarat jelas aspek integriti dalam pentadbiran masjid tidak akan dikompromi.

"Tindakan tegas ini diambil terhadap mereka yang didapati gagal mematuhi syarat dan garis panduan yang ditetapkan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan tidak menjalankan tugas dengan sewajarnya termasuk membenarkan penceramah tidak bertauliah serta menyalahgunakan tauliah.

"Kita ada 446 masjid dan nak memantau setiap satu memang sukar tetapi syarat untuk penceramah ini perlu tauliah," katanya pada Mesyuarat Kedua Persidangan Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor (DNS), hari ini.

[caption id="attachment_709113" align="alignnone" width="908"] EXCO Agama Islam Dr Mohammad Fahmi Ngah ketika menjawab soalan wakil rakyat dalam Persidangan Dewan Negeri Selangor pada 7 Julai 2025. Foto HARUN TAJUDIN / MEDIA SELANGOR[/caption]

Tambah Mohammad Fahmi, modul masjid pengurusan juga telah dibuat bagi memastikan pengurusan masjid lebih terkawal dan berintegriti.

"Kita sudah buat pindaan pada Rang Undang-Undang Pentadbiran Agama Islam Selangor (Negeri Selangor), seandainya penceramah memegang tauliah tapi melanggar syarat tauliah akan dikenakan tindakan termasuk yang memegang jawatan dalam mana-mana parti politik, kerajaan atau pembangkang, tauliah boleh ditarik.

"Ada juga pentadbir masjid yang bukan ahli kariah kawasan dan pengundi Selangor, ini jelas bertentangan dengan peraturan kariah setempat.

"Apabila dah luluskan rang undang-undang pindaan hari ini, di mana bila ada pemegang jawatan utama agama Islam negeri Selangor seperti Majlis Agama Islam Selangor (Mais), mufti, timbalan mufti, semuanya juga perlu berpegang kepada akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah dan saringan berkenaan akan diturunkan juga ke bawah hingga ke peringkat guru, pentadbir masjid, semua sedang diperhalusi," katanya.

Persidangan DNS hari ini meluluskan Rang Undang-Undang Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) (Pindaan) 2025 (RUU 2025) yang memperkukuh peranan Ahli Sunnah Wal Jamaah sebagai asas pentadbiran Islam di negeri ini.

RUU berkenaan diluluskan sebulat suara selepas dibahaskan enam Ahli Dewan Negeri.

Mohammad Fahmi menjelaskan, pindaan yang dibawa mengandungi 10 fasal, meliputi satu tafsiran baharu, satu pindaan tafsiran, dua peruntukan baharu, lima peruntukan pindaan serta satu peruntukan peralihan.

Jelasnya, pindaan itu akan memberikan implikasi penting terhadap tatacara pelantikan antaranya membolehkan Mais melaksanakan tapisan yang lebih menyeluruh terhadap calon yang dicadangkan melalui rujukan kepada Jawatankuasa Fatwa.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.