SHAH ALAM, 7 JULAI: Selangor sedang merangka kerjasama strategik dengan agensi berkaitan bagi membantu proses pengesanan dan penyitaan aset pihak yang ingkar perintah nafkah.
EXCO Agama Islam Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata melalui Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (Jakess), kerjasama strategik bersama Jabatan Pendaftaran Negara, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan institusi kewangan dirangka bagi membantu proses itu.
Menurutnya, mekanisme tepat dan efisien oleh pihak yang menuntut nafkah, khususnya bekas isteri atau penjaga anak antara faktor penting dalam memastikan keberkesanan penguatkuasaan perintah nafkah, kerana kegagalan memilih saluran atau mekanisme sesuai boleh menyebabkan kelewatan, kekeliruan dan akhirnya menjejaskan hak penerima nafkah.
“Jakess sentiasa proaktif dalam mendidik masyarakat agar memahami serta memilih saluran atau mekanisme yang paling sesuai bagi menuntut atau menguatkuasakan hak mereka melalui program literasi undang-undang dan seminar kesedaran sekaligus meningkatkan kadar kejayaan pelaksanaan perintah nafkah.
“Perintah penguatkuasaan seperti perintah tahanan pendapatan, hiwalah (garnishment order) atau penyitaan dan penjualan harta pihak yang ingkar nafkah adalah merupakan contoh kesan daripada permohonan mekanisme yang lebih tepat, praktikal dan memberi impak langsung.
“Berbanding proses komital yang bersifat hukuman semata-mata kerana melibatkan pemenjaraan namun tidak membawa manfaat kewangan langsung kepada pihak yang menuntut,” katanya dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini.
Beliau menjawab soalan wakil rakyat Meru Mariam Abdul Rashid mengenai kes perlanggaran perintah nafkah di Selangor.
Selain itu, katanya Pindaan terhadap Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 bagi memperkemas peruntukan berkaitan penguatkuasaan perintah nafkah sedang diteliti.
“Majlis Agama Islam Selangor (Mais), Jakess, Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), ahli akademik dan pakar perundangan sedang meneliti dan akan mencadangkan pindaan itu.
“Melalui sesi libat urus, bengkel teknikal, forum awam serta kajian impak undang-undang, semua pandangan dan pengalaman praktikal dari pelbagai sudut diambil kira bagi memastikan pindaan yang dirangka benar-benar berkesan, menyeluruh dan berdaya laksana.
“Pendekatan ini jugamenjamin bahawa undang-undang yang digubal adalah adil dan menepati keperluan semasa masyarakat Islam di Selangor,” katanya.
Katanya, sebanyak 1,189 aduan pelanggaran perintah nafkah diterima Bahagian Sokongan Keluarga Negeri Selangor sejak 2022 hingga 31 Mei lalu.
Sebelum ini, Media Selangor melaporkan kajian untuk meminda Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 di peringkat akhir dan dijangka dibentang pada tahun hadapan.
Mohammad Fahmi Ngah memberitahu Kerajaan Negeri melalui Jais sedang memperhalusi cadangan berkenaan bagi memperkukuh institusi kekeluargaan Islam di negeri ini.
Menurutnya, antara diteliti termasuk isu nikah tanpa kebenaran, nikah sindiket dan poligami tanpa kebenaran (mahkamah).