Walau paip gas yang dipasang di laluan tepi Putra Harmoni sudah mematuhi piawaian, tanah di bahagian bawahnya longgar dan lembut menjadi penyebab utama paip itu retak.
Tanah yang lemah ini menyebabkan paip bergerak berulang kali, seakan-akan berayun, yang menimbulkan tekanan berulang pada garis kelesuan di sepanjang ukur lilit permukaan paip.
Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) menyimpulkan “kegagalan paip disebabkan oleh keadaan tanah di bawah paip yang tidak cukup kuat untuk menampung berat dan tekanan paip, menyebabkan ia menjadi tidak stabil, bocor, dan akhirnya meletup.”
Hasil siasatan jabatan itu mendapati “lokasi kegagalan ini bukan akibat aktiviti di permukaan tanah tetapi kerana tanah di bawahnya yang tidak menyokong (saluran paip) dengan baik.”
Daripada sampel paip yang dihantar untuk ujian makmal, JKPP mendapati garisan tekanan di permukaan paip menunjukkan bebanan berterusan di dalam tanah.
Bebanan tanah ini menjadi penyebab utama kegagalan pada paip hingga mengakibatkan ia patah pada bahagian kimpalan. Garisan tekanan itu berlaku dalam kedudukan (jarum jam) 8 hingga 9, yakni bahagian bawah paip.
Ujian makmal itu memutuskan “kesan patah pada kimpalan adalah dalam bentuk tarikan. Berdasarkan analisis pemodelan struktur tanah menggunakan Plaxis 2D, telah berlaku pemendapan tanah sehingga 24.3cm dan berlaku pergerakan paip gas sehingga 15.9cm. Ini menjelaskan bahawa paip gas mengalami pergerakan ketara dalam tanah sebelum kegagalan akhir berlaku.”
Dalam laporannya, JKKP juga menjelaskan beberapa faktor persekitaran yang mendorong kegagalan tersebut, antaranya struktur saliran yang merentasi tanah rizab laluan gas (ROW), tanah lembap termasuk resapan air dan tekanan berterusan dalam jangka masa lama ke atas paip tersebut.
Maka jabatan tersebut, juga dikenali DOSH, menyimpulkan tiga perkara utama: paip gas patah pada bahagian kimpalan, tanah yang longgar dan lembut penyebab utama dan paip itu bergerak sebelum kegagalannya.
JKKP juga merujuk hasil siasatan beberapa jabatan lain. Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) mendapati wujud takungan air di bawah tanah yang menyebabkan ia tepu air dan longgar.
Siasatan Jabatan Kerja Raya (JKR) pula menunjukkan paip gas bergerak 15.9cm sebelum kejadian, sementara berlaku mendapan tanah sebanyak 24.3cm sejak paip itu dipasang pada tahun 2000.
Jabatan bomba pula merumuskan geseran pada logam paip di tengah kawasan (PGU II Loop 2) yang retak itu mencetuskan api. Gas asli metana memang diketahui mudah terbakar.
Dalam laporan berasingan, JMG menjelaskan tanah asal di lokasi kejadian, seperti peta tahun 1991, dipenuhi tanaman kelapa sawit. Tetapi peta tahun 2000 menunjukkan tanah itu menjadi lapang apabila paip dipasang.
Tanah tersebut asalnya berkedudukan rendah yang dikeliling kawasan berbukit di sebelah utara, selatan dan barat.
Di lembangan ini, terdapat laluan anak sungai, yang merentasi saluran paip gas, dari Bukit Lanchong (Kinsley Hill) ke arah Sungai Kelang melalui Kampung Kuala Sungai Baru.
Dalam siasatannya, JMG menunjukkan keratan rentas di bawah tanah di sekitar lokasi kejadian.
Jabatan itu menyimpulkan lokasi ini:
- zon lembah di bahagian kaki cerun dan terdapat alur sungai semula jadi yang mengalir merentasi dari arah barat ke timur
- kawasan ini secara relatif paling rendah dan berpaya mengunjur sehingga ke tebing Sungai Kelang
- dasar kawasan kejadian terdiri daripada lapisan tanah kelodak, pasir dan liat dengan bahan organik (reputan kayu) dan batuan dasarnya granit
- lapisan tanih bawah permukaan berkenaan berada dalam zon tepu air di bawah paras air tanah setempat yang secara relatifnya adalah cetek
- lapisan tanih semula jadi ini telah ditambak di bahagian atasnya semasa proses pembangunan yang dilaksanakan di kawasan berkenaan
- zon tepu air di bawah permukaan tersebut berpunca daripada sumber air bawah tanah semula jadi, resapan air permukaan yang agak tinggi terutama semasa musim hujan dan resapan air aliran anak sungai asal (diubah menjadi saliran monsun bawah tanah)
- saluran paip Petronas Gas Berhad dibina dalam persekitaran lapisan tanah berkenaan melalui kaedah korekan terbuka dan ditanam di bawah zon tepu air
Laporan siasatan JKKP dan JMG ini dibentang dalam sidang media di Shah Alam pada 30 Jun.