Oleh Muhammad Rey Hazriell
SHAH ALAM, 3 JULAI: Kaum lelaki dikatakan sukar untuk meluahkan isi hati atau perasaan secara terbuka sedangkan golongan itu juga berhadapan tekanan serta cabaran emosi.
Berikutan itu sekumpulan penuntut komunikasi Universiti Teknologi MARA (UiTM) mengambil pendekatan kreatif menggunakan kopi sebagai medium untuk mengangkat isu kesihatan mental lelaki menerusi program Unmentioned: Bila Kopi Jadi Terapi Lelaki di sini semalam.
Kempen dikenali ‘unMENtioned brewed’ itu memberi fokus kepada peranan ruang selamat untuk lelaki berkongsi tekanan emosi dalam suasana santai dan inklusif.
Penasihat program, Dr Annuar Ali berkata, sambutan menggalakkan peserta membuktikan isu itu sangat dekat dengan masyarakat walaupun sering dipandang sepi.
[caption id="attachment_708269" align="aligncenter" width="1155"] Penasihat program Unmentioned: Bila Kopi Jadi Terapi Lelaki Dr Annuar Ali, 37. Foto SHAHRIL DANIAL/MEDIASELANGOR[/caption]
“Secara nalurinya, lelaki sering dianggap ketua dan pelindung, tetapi ramai lupa mereka juga manusia yang berhadapan tekanan, cabaran emosi dan keperluan untuk didengari,” katanya.
Menurut beliau, kempen itu berjaya mengatasi cabaran awal seperti kekangan jumlah sasaran dan keengganan peserta lelaki untuk meluahkan perasaan secara terbuka.
Sementara itu peserta program, Muhammad Muqrish Razali, 23, mengakui ini kali pertama beliau dapat meluahkan isi hati secara terbuka tanpa rasa malu atau segan.
[caption id="attachment_708270" align="aligncenter" width="1274"] Peserta program Unmentioned: Bila Kopi Jadi Terapi Lelaki Muhammad Muqrish Razali, 23. Foto SHAHRIL DANIAL/MEDIASELANGOR[/caption]
“Selalunya kita simpan dalam hati sebab tak tahu nak cerita kepada siapa, tapi program ini buat saya rasa lebih lega, tenang dan difahami,” ujarnya.
Pensyarah, Najmi Nuji, 40, menyifatkan program itu sebagai langkah penting dalam mengetengahkan keberadaan dan keperluan emosi golongan lelaki dalam masyarakat.
“Lelaki biasanya tidak bercerita tentang masalah mereka, tapi dengan adanya platform begini, barulah mereka sedar mereka pun perlukan pertolongan,” katanya.
[caption id="attachment_708268" align="aligncenter" width="1214"] Pensyarah UiTM Shah Alam Najmi Nuji, 40. Foto SHAHRIL DANIAL/MEDIASELANGOR[/caption]
Menurutnya, kesihatan mental adalah aspek penting yang tidak boleh dipandang remeh kerana tekanan yang tidak dirawat boleh membawa kepada kemurungan.
Penyanyi dan pelakon, Shafimie Saedon, 27, yang turut menjayakan program berkata lagu yang dipersembahkan dipilih khusus untuk menyampaikan mesej kesedaran tentang tekanan mental yang dihadapi kaum lelaki.
“Masalah mental penting untuk semua jantina, tapi masih ramai tak nampak beban yang ditanggung lelaki sebab kita diasuh untuk ‘diam dan tahan’,” katanya.