SHAH ALAM, 1 JUL: Pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor mempergiat tindakan penguatkuasaan terhadap iklan berkaitan produk rokok elektronik atau vape di semua medium fizikal termasuk papan iklan digital atau LED.
Tindakan itu susulan arahan Kerajaan Negeri bagi membendung penularan promosi vape, selaras dengan Akta Kawalan Produk Merokok untuk Kesihatan Awam 2023 (Akta 852).
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) Mohamad Hanafi Basri berkata pihaknya telah memeriksa 29 premis dengan mengeluarkan 22 kompaun dan menyerahkan 38 notis termasuk Notis Berhenti Niaga dan Notis Penurunan Iklan.
[caption id="attachment_707916" align="aligncenter" width="766"]
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) Mohamad Hanafi Basri. Foto Facebook Majlis Perbandaran Kuala Selangor[/caption]
“Premis yang beroperasi tanpa lesen akan dikenakan tindakan tegas, manakala premis berlesen yang masih memaparkan iklan vape turut dikenakan tindakan jika ingkar arahan,” katanya kepada Media Selangor.
Beliau menegaskan, MPKS akan terus melaksanakan penguatkuasaan secara berterusan dan tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang melanggar ingkar peraturan.
Sementara itu, Datuk Bandar Klang Dato’ Abd Hamid Hussain memaklumkan sebanyak 72 notis dikeluarkan terhadap premis vape di sekitar Sentosa, Meru, Selat Klang, Bandar Baru Klang dan Pandamaran.
[caption id="attachment_678549" align="aligncenter" width="774"]
Datuk Bandar, Majlis Bandaraya Diraja Klang Dato’ Abd Hamid Hussain (tengah) bercakap kepada media pada Majlis Pelancaran Bas Hop On Hop Off (Bas Ho Ho) Daerah Klang di Dewan Hamzah, MBDK pada 19 Disember 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR[/caption]
“Kita beri tempoh dua minggu untuk pemilik menurunkan iklan. Jika ingkar, tindakan penguatkuasaan akan diambil. Buat masa ini, hanya tindakan terhadap iklan dilaksanakan kerana larangan perniagaan belum dimuktamadkan Kerajaan Negeri,” jelasnya.
Di Petaling Jaya, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) sedang mengumpul data dan mengenal pasti lokasi premis vape dalam kawasan pentadbirannya.
Datuk Bandarnya Mohamad Zahri Samingon berkata, setakat ini tiada papan tanda atau iklan vape dikesan namun pihaknya bersiap sedia untuk bertindak jika terdapat pelanggaran.
[caption id="attachment_689721" align="aligncenter" width="814"]
Datuk Bandar Petaling Jaya Mohamad Zahri Samingon bercakap kepada media selepas majlis penyampaian sumbangan bakul ramadan kepada kakitangan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di Dewan Banquet MBPJ, Petaling Jaya pada 3 Mac 2025. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR[/caption]
“Kita menunggu arahan lanjut daripada Kerajaan Negeri. Semua data berkaitan perniagaan vape telah dikumpul,” katanya.
Mei lalu, Kerajaan Selangor mengarahkan semua PBT menyita dan menurunkan semua bentuk iklan produk vape sebagai langkah melindungi masyarakat, khususnya generasi muda daripada ancaman vape yang semakin membimbangkan.
Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan cadangan larangan penjualan produk vape dan rokok elektronik di Selangor akan dibentangkan dalam sidang Dewan Negeri akan datang.
Beberapa negeri lain termasuk Terengganu dan Johor telah menguatkuasakan larangan lebih awal, dengan Terengganu bakal melaksanakannya mulai 1 Ogos manakala Johor sejak 2016.
Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay sebelum ini menegaskan bahawa kerajaan negeri mempunyai kuasa untuk menguatkuasakan larangan penjualan vape.


