SHAH ALAM, 1 JULAI: Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) giat melaksana kerja pemulihan paip gas yang bocor susulan insiden kebakaran di Putra Heights pada 1 April lepas.
Agensi itu memaklumkan usaha pembaikan ini penting bagi memastikan bekalan gas dapat dipulihkan dengan selamat dan stabil kepada penduduk serta perniagaan di kawasan terbabit.
“Fasa 1 kerja pemulihan melibatkan pemasangan talian paip gas sementara sepanjang kira-kira 210 meter untuk menggantikan bahagian paip yang rosak.
“Penambahbaikan dan penstabilan tanah dijalankan di lokasi menggunakan struktur asas jambatan bersaiz kira-kira 8 meter x 100 meter bagi memberikan sokongan lebih kukuh pada paip," maklumnya menerusi kenyataan.
JKKP menambah fasa 2 baik pulih pula melibatkan penggantian tiga talian paip gas baharu dengan panjang kira kira 200 meter setiap satu di lokasi terjejas.
"Struktur papak konkrit (concrete slab) akan dipasang untuk menempatkan paip baharu dengan lebih selamat dan tahan lama.
"Reka bentuk kejuruteraan untuk kerja pembaikan fasa 2 kejuruteraan sedang disiapkan dan dijangka mula beroperasi pada suku ketiga 2026,” maklumnya.
Menurutnya lagi, JKKP menekankan aspek keselamatan sebagai keutamaan utama dalam membuat semua kerja pembaikan mengikut kod teknikal dan standard antarabangsa yang ditetapkan.
“Kontraktor yang melaksanakan pemulihan berdaftar dan memenuhi syarat ketat JKKP. Prosedur kimpalan paip gas turut mematuhi piawaian teknikal yang ditetapkan.
“Beberapa kajian geoteknikal seperti pemetaan, lapisan batuan dan pemantauan pergerakan tanah turut dijalankan untuk memastikan tapak pemasangan paip berada dalam keadaan stabil serta selamat dalam jangka masa panjang,” katanya lagi.
[caption id="attachment_707835" align="alignnone" width="862"] Pengarah Bahagian Keselamatan Petroleum Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Husdin Che Mat ketika sidang media laporan siasatan insiden kebakaran Putra Heights di Bilik Gerakan Bangunan Annex pada 30 Jun 2025. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR[/caption]
Dalam pembentangan laporan insiden semalam, pengarah Bahagian Keselamatan Petroleum JKKP memaklumkan keadaan tanah yang lemah hingga tidak menyokong sepenuhnya struktur paip bawah tanah merupakan punca berlakunya kebocoran dan kebakaran saluran gas.
Husdin Che Amat memberitahu hasil siasatan pihaknya mendapati paip gas memenuhi semua spesifikasi teknikal yang ditetapkan namun bahagian bawahnya dikenal pasti tidak disokong sepenuhnya pada tanah.