Oleh Dewi Abdul Rahman
SEPANG, 1 JUL: Kerajaan Negeri giat menyelesaikan isu pewartaan tanah Orang Asli secara menyeluruh menerusi kerjasama pelbagai agensi berkaitan.
EXCO hal ehwal Orang Asli berkata beberapa kes telah diselesaikan, namun masih terdapat isu bertindih melibatkan agensi seperti Jabatan Perhutanan, Pejabat Tanah dan Galian serta Pejabat Daerah.
[caption id="attachment_707871" align="aligncenter" width="812"] EXCO Hal Ehwal Orang Asli V Papparaidu bercakap kepada media selepas merasmikan program pemasangan lampu solar di Kampung Orang Asli Bukit Bangkong dan Kampung Orang Asli Sungai Belankan Sungai Pelek, Sepang pada 30 Jun 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR[/caption]
“Pewartaan ini melibatkan pelbagai jabatan dan ada tanah yang berstatus milikan tertentu. Prosesnya perlu teliti dan memerlukan dokumen lengkap.
“Buat masa ini, Kerajaan Negeri sedang mengumpul dokumen dan cadangan daripada pihak berkaitan bagi melengkapkan proses mengikut undang-undang,” kata V Papparaidu ketika ditemui dalam satu program di sini, semalam.
Beliau turut memberi jaminan proses pewartaan akan dipercepat sebaik semua dokumen lengkap dan tiada halangan daripada jabatan terlibat.
“Saya yakin Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari akan meneliti isu ini. Jika semua keperluan dipenuhi, proses pasti berjalan lancar,” katanya.
[caption id="attachment_707872" align="aligncenter" width="799"] EXCO Hal Ehwal Orang Asli V Papparaidu (tiga, kiri) meninjau lampu solar yang dipasang di Kampung Orang Asli Bukit Bangkong di Sungai Pelek, Sepang pada 30 Jun 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR[/caption]
Dalam masa sama, Papparaidu menasihatkan masyarakat Orang Asli supaya tidak menjual atau menggadaikan tanah yang dimiliki kerana ia merupakan aset penting untuk masa depan.
“Tanah adalah warisan. Jika dijual atau dilelong, kita akan hilang hak milik. Lindungilah aset ini demi generasi akan datang,” tegasnya.
Menurutnya, Kerajaan Negeri turut merancang menyerahkan sebahagian tanah kepada komuniti Orang Asli untuk diusahakan bersama Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) melalui penanaman getah.
“Inisiatif ini mampu menjana pendapatan tetap kepada keluarga Orang Asli melalui hasil pertanian,” ujarnya.
Papparaidu yang turut memegang portfolio pembasmian kemiskinan menekankan bahawa pendidikan merupakan asas penting dalam usaha meningkatkan taraf hidup masyarakat Orang Asli.