BERITA UTAMA

Selangor promosi pelancongan, ekonomi digital di Malaysia Fair Osaka 2025

28 Jun 2025, 7:27 PM
Selangor promosi pelancongan, ekonomi digital di Malaysia Fair Osaka 2025
Selangor promosi pelancongan, ekonomi digital di Malaysia Fair Osaka 2025

Oleh Muhammad Rey Hazriell

SHAH ALAM, 28 JUN: Selangor terus meluaskan capaian ekonomi dan budaya ke peringkat antarabangsa menerusi penyertaan rasmi dalam Malaysia Fair Osaka 2025 di Lalaport Expocity, Jepun.

Program tiga hari yang berakhir esok merupakan edisi pertama Malaysia Fair dianjurkan di luar Tokyo, dengan jangkaan menarik lebih 50,000 pengunjung termasuk masyarakat Jepun, pemain industri dan delegasi antarabangsa.

EXCO Keusahawanan Mohd Najwan Halimi berkata penyertaan kali ini menonjolkan kekuatan negeri dalam pelbagai sektor termasuk pelancongan, budaya dan pendigitalan perusahaan mikro melalui platform PLATS Selangor.

“Platform tersebut bukan sahaja mempromosikan produk tempatan, malah membuktikan keupayaan Selangor sebagai peneraju transformasi ekonomi digital di Malaysia,” katanya.

[caption id="attachment_707579" align="aligncenter" width="815"] EXCO Pembangunan Keusahawanan Najwan Halimi (dua, kanan) dan Ketua Yayasan MBI Ahmad Azri Zainal Nor (dua, kiri) meraikan Duta Besar Malaysia ke Jepun Dato’ Shahril Effendi Abd Ghany yang hadir meninjau Pavilion Selangor di Malaysia Fair Osaka 2025 di Lalaport Expocity, Jepun pada 27 Jun 2025. Foto Aisyah Adly[/caption]

Pavilion Selangor turut menerima kunjungan Duta Besar Malaysia ke Jepun Dato’ Shahril Effendi Abd Ghany yang menyifatkan pendekatan proaktif negeri itu sebagai langkah tepat memperkukuh hubungan ekonomi dua hala dan diplomasi pelaburan.

Malaysia Fair Osaka 2025 merupakan anjuran Kedutaan Besar Malaysia di Tokyo dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan Malaysia yang berpangkalan di Jepun.

Penganjuran ini turut menjadi pemangkin kepada program Business Acceleration – World Expo Osaka 2025, sekali gus membuka laluan strategik kepada usahawan dan pemain industri tempatan untuk menembusi pasaran Jepun dan rantau Asia Timur.