ad
AGENDA

Penyertaan masih rendah, bukan bumiputera diseru sertai ATM

28 Jun 2025, 5:20 PM
Penyertaan masih rendah, bukan bumiputera diseru sertai ATM

KUALA LUMPUR, 28 JUN: Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Mohd Nizam Jaffar menyeru lebih ramai rakyat bukan bumiputera menyertai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) susulan jumlah penyertaan golongan itu masih rendah ketika ini.

Mohd Nizam berkata ATM perlu dilihat sebagai antara peluang kerjaya yang terbuka untuk diceburi kerana ia satu bidang profesional yang jauh berbeza daripada bidang lain.

“Saya juga menyeru supaya kaum-kaum lain menyertai ATM, cabaran bermula di sini, kamu akan dapat rasakan erti profesionalisme sebenar,” katanya pada sidang media selepas Istiadat Perbarisan dan Pengurniaan Watikah Tauliah Pegawai Kadet ATM di Kem Perdana, Sungai Besi, di sini hari ini.

Istiadat berkenaan disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, yang turut dihadiri Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Khaled Nordin dan panglima-panglima ATM.

Mohd Nizam berkata pada istiadat kali ini, sebanyak 509 pegawai kadet menerima watikah pentauliahan sebagai pegawai ATM.

Beliau berkata istiadat berkenaan diadakan sebagai pengiktirafan rasmi kepada pegawai kadet ATM yang telah menamatkan latihan ketenteraan serta menandakan permulaan tugas dan tanggungjawab sebagai pegawai muda dalam cabang perkhidmatan ATM.

Ia juga bertujuan menzahirkan komitmen ATM dalam melahirkan kepimpinan tentera yang berwibawa, berdisiplin dan berintegriti tinggi demi mempertahankan kedaulatan negara.

Dalam istiadat berkenaan, 295 Pegawai Muda Tentera Darat, 114 Pegawai Muda Tentera Laut Diraja Malaysia dan 100 Pegawai Muda Tentera Udara Diraja Malaysia menerima watikah tauliah masing-masing.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.