SHAH ALAM, 26 JUN: Kerajaan Negeri melalui sokongan kerajaan persekutuan komited memperkukuh kawalan banjir secara menyeluruh demi memastikan kelestarian sistem saliran serta keselamatan rakyat.
Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor, Dato Ir Mohammad Nazri Yasmin berkata pendekatan itu bersifat jangka panjang dan merangkumi pengurusan kawasan hulu, tengah dan hiliran sungai.
“Pencegahan banjir tidak boleh bersandar pada satu projek sahaja. Kita memerlukan rangkaian pelan bersepadu seperti pengurusan tadahan air, penambahbaikan sungai, kolam takungan dan sistem pemantauan pintar,” katanya.
Antara projek yang sedang dirancang termasuk pembinaan kolam kawalan banjir, rumah pam, pintu air dan takungan dwi-fungsi selain pembangunan sistem simulasi banjir, peta risiko, pemantauan paras air dan sistem penggera automatik.
[caption id="attachment_707210" align="aligncenter" width="1151"]
Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor Dato Ir Mohammad Nazri Yasmin ketika diwawancara Media Selangor di pejabat JPS Bangunan SUK, Shah Alam pada 9 Mei 2025. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR[/caption]
Beliau menjelaskan pendekatan itu saling melengkapi di mana sistem fizikal membantu meningkatkan kapasiti saliran manakala penggunaan teknologi meningkatkan keupayaan amaran awal dan kesiapsiagaan masyarakat.
“Kita tidak boleh lagi berfikir cara lama, bertindak selepas banjir. Kita perlu ubah pendekatan kepada perancangan bersepadu, berteknologi dan lebih berdaya tahan,” ujarnya.
RM1.5 bilion diperuntuk, projek fasa awal bermula hujung tahun ini
Selepas insiden banjir besar pada Disember 2021, kerajaan persekutuan memperuntukkan RM1.02 bilion untuk empat pelan kawalan banjir utama di Selangor, kini dalam fasa reka bentuk dan dijangka dimulakan hujung tahun ini.
Pelan tersebut merangkumi pembinaan takungan dwi-fungsi di Sungai Klang dan Sungai Rasau (RM662.5 juta) yang berfungsi sebagai sumber air mentah dan kawalan banjir.
Ia akan meningkatkan sistem saliran Sungai Klang serta kapasiti tadahan air.
Pada masa sama, negeri memperuntukkan RM90.8 juta bagi tujuh projek pencegahan banjir di kawasan berisiko tinggi antaranya fasa kedua projek Sungai Rasau termasuk pembinaan rumah pam, pencawang TNB dan bilik kawalan.
Selai itu penambahbaikan sungai dan Jambatan Sungai Kandis.
Sistem amaran awal banjir dijangka siap 2026
Satu sistem amaran awal banjir berasaskan teknologi sedang dibangunkan dan dijangka siap menjelang 2026. Ia melibatkan pemasangan stesen pemantauan hujan dan paras air, sistem simulasi serta penggera automatik yang boleh memberi makluman awal kepada penduduk.
"Teknologi ini membolehkan orang ramai bersiap awal dan menyelamatkan nyawa serta harta benda,” katanya.
Beliau menegaskan kerjasama rapat antara Kerajaan Negeri dan persekutuan akan terus diperkukuh untuk memastikan Selangor bukan hanya mampu mengurangkan impak banjir, tetapi juga menjadi negeri contoh dalam pengurusan bencana alam.


