PETALING JAYA, 26 JUN: Sejumlah 26 tadika di daerah ini berjaya diputihkan menerusi program sehenti yang memfokuskan penyelesaian pengoperasian tanpa lesen setakat Mei lalu.
Datuk Bandar Petaling Jaya Mohamad Zahri Samingon berkata semua premis itu dibenar beroperasi setelah dokumen permohonan kebenaran merancang, permit struktur dan lesen perniagaan diluluskan.
“Program sehenti ini dilaksana selepas satu sesi libat urus bersama pengusaha tadika, yang mana mereka diberikan tempoh dua minggu untuk melengkapkan dokumen.
[caption id="attachment_693130" align="alignleft" width="345"] Datuk Bandar Petaling Jaya Mohamad Zahri Samingon[/caption]
“Setelah diperiksa, 26 tadika berjaya diputihkan setelah semua dokumen lengkap manakala 22 premis yang hanya memperolehi kelulusan kebenaran merancang atau permit struktur sahaja, perlu melengkapkan permohonan tidak lengkap sebelum 31 Disember depan.
“Sementara itu 16 premis yang tidak menyertai program ini akan dirujuk semula kepada Jabatan Pendidikan Negeri Selangor dan Pejabat Pendidikan Daerah Petaling Utama untuk tindakan penguatkuasaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan mesyuarat bulanan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) semalam.
Dalam pada itu, Mohamad Zahri turut menegaskan agar pengusaha tadika mengikut peraturan ditetapkan supaya dapat beroperasi secara sah.
“Pendidikan awal kanak-kanak merupakan fasa terpenting yang membentuk asas perkembangan intelek, emosi, sosial dan fizikal. Penyediaan persekitaran pembelajaran yang selamat, kondusif dan berkualiti adalah amat kritikal dalam mencorakkan generasi masa hadapan.
“Selain memastikan hak dan kebajikan kanak-kanak sentiasa dilindungi ia juga bertepatan dengan pencapaian PJSSR 2030 dan matlamat pembangunan mampan (SDG) iaitu pendidikan berkualiti serta menggalakkan peluang pembelajaran sepanjang hayat untuk semua,” katanya.