SEPANG, 22 JUN: Program Kembara Masjid Selangor (KEMAS) 2025 akan diteruskan ke dua lagi daerah sebagai usaha mengimarah dan memperkukuh peranan institusi masjid dalam masyarakat terutama anak muda.
Selesai dilaksana di tiga daerah sebelum ini, EXCO hal ehwal agama Islam berkata program itu merupakan platform untuk beliau meninjau dan memahami isu pembaikan infrastruktur masjid yang perlu perhatian.
Jelas Dr Mohammad Fahmi Ngah, menerusi peruntukan keseluruhan RM150,000 tahun ini, program KEMAS juga bertujuan merapatkan silaturahim antara Kerajaan Negeri dengan pengurusan masjid.
[caption id="attachment_706659" align="alignnone" width="927"] EXCO Agama Dr Fahmi Ngah (lima, kiri) ketika Program Kembara Masjid Selangor (KEMAS) 2025 di Masjis Kampung Salak Tinggi Sepang pada 22 Jun 2025. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR[/caption]
“Hari ini masuk siri ketiga iaitu di daerah Sepang dan kita akan teruskan di dua lagi daerah dijangka Petaling dan Klang yang akan dimuktamadkan nanti.
“Antara pengisiannya termasuk kuliah Subuh dan Dhuha daripada penceramah, tafsir al-Quran, gotong-royong dan rewang yang merapatkan silaturahim antara kariah.
“Saya juga mendapatkan maklum balas daripada Pejabat Agama Islam Daerah berhubung pelbagai perkara termasuk pengurusan masjid, sekolah agama, penularan ajaran sesat sekiranya ada dan isu nikah kahwin di daerah terlibat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika program KEMAS 2025 di Masjid Kampung Salak Tinggi di sini, hari ini.
[caption id="attachment_706660" align="alignnone" width="1050"] Peserta bergotong-royong ketika Program Kembara Masjid Selangor (KEMAS) 2025 di Masjis Kampung Salak Tinggi Sepang pada 22 Jun 2025. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR[/caption]
Pada program itu juga Mohammad Fami berkongsi perkembangan terbaharu pengurusan agama Islam di Selangor bagi memastikan penyampaian maklumat berlangsung dengan jelas dan berkesan.