ad
ADN

MBDK didesak tolak projek memorial berhampiran Masjid Raja Uda

19 Jun 2025, 10:06 PM
MBDK didesak tolak projek memorial berhampiran Masjid Raja Uda

KLANG, 19 JUN: Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) perlu menolak cadangan pembinaan memorial berhampiran Masjid Kampung Raja Uda kerana ia melanggar Rancangan Tempatan yang ditetapkan pihak berkuasa tempatan.

Ahli Dewan Negeri Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri berkata, jika memorial empat tingkat itu diluluskan, ia dikhuatiri mencetus konflik perkauman dalam kalangan masyarakat setempat.

“Hari ini berlangsung pendengaran awam antara penduduk dan pemaju. Saya percaya pemaju sedia maklum bahawa syarat nyata tanah di kawasan itu hanya untuk kediaman dan perniagaan terhad, bukan memorial.

“Saya mewakili penduduk berharap MBDK menolak sepenuhnya cadangan ini dalam mesyuarat Jawatankuasa Pembangunan Setempat (OSC) pada 24 Jun nanti.

“Jika ia diluluskan, keputusan itu bercanggah dengan Rancangan Tempatan 2035 yang diwartakan sendiri MBDK dan juga syarat nyata tanah di bawah Kanun Tanah Negara. Ia juga boleh menimbulkan konflik antara penduduk dan kerajaan tempatan,” katanya.

Ditemui selepas sesi pendengaran awam, Azmizam turut meminta MBDK memantau kawasan tersebut supaya tiada sebarang aktiviti pembangunan dijalankan sebelum keputusan rasmi dibuat.

Sebelum ini, media melaporkan majoriti penduduk membantah projek pembangunan membabitkan Lot 82022 dan beberapa lot bersebelahan kerana terlalu hampir dengan Masjid Kampung Raja Uda serta kawasan perumahan.

Pada 11 Jun lalu, penduduk Kampung Raja Uda menyerahkan memorandum kepada MBDK bagi membantah cadangan pembinaan memorial empat tingkat yang didakwa menjejaskan keharmonian serta keselamatan komuniti.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Raja Uda, Zainal Abidin Alang Ahmad berkata, beliau berharap MBDK menolak permohonan tersebut berdasarkan faktor-faktor yang dibangkitkan dalam pendengaran awam.

“Kita telah beri penjelasan tentang sebab penolakan. Pembinaan memorial jelas bertentangan dengan syarat guna tanah, selain menjejaskan keharmonian kaum.

“Ini kali kedua aktiviti yang tidak dibenarkan cuba dirancang di kawasan ini. Dahulu perniagaan kereta eksport meletakkan kontena bertingkat, kini memorial pula.

“Pemaju sepatutnya cari lokasi lain yang lebih sesuai, bukan kawasan majoriti penduduk beragama Islam,” katanya.

Sementara itu, Nazir Masjid Kampung Raja Uda, Ismail Arsat berkata, pembinaan memorial tersebut dikhuatiri mencalar imej kampung yang juga sebahagian daripada Bandar Diraja.

“Mercu tanda utama Kampung Raja Uda ialah Masjid Raja Uda. Jika memorial dibina hanya 83 meter dari masjid, ia akan mencemari imej kampung.

“Selain masjid, kawasan itu turut menempatkan perumahan, bangunan kerajaan dan beberapa sekolah – semuanya dalam radius kurang 500 meter,” jelasnya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.