ad
ADN

Bantah bina memorial dekat masjid, kediaman, sesi pendengaran awam diadakan esok

18 Jun 2025, 2:21 PM
Bantah bina memorial dekat masjid, kediaman, sesi pendengaran awam diadakan esok

SHAH ALAM, 18 JUN: Sesi pendengaran awam berhubung cadangan pembinaan memorial empat tingkat berhampiran Masjid Kampung Raja Uda akan diadakan di Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK), esok

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Raja Uda Zainal Abidin Alang Ahmad berkata pihaknya akan membangkitkan ketidaksesuaian pembinaan projek tersebut di kawasan majoriti Melayu, selain bakal menimbulkan kesesakan.

"Semalam saya menerima surat daripada MBDK berhubung isu ini. Pendengaran awam melibatkan penduduk, pemaju dan Jabatan Perancangan Bandar. Saya akan hadir bersama 23 responden lain yang turut membuat bantahan bagi pembinaan memorial ini.

"Menerusi pendengaran awam ini, kita akan bawa hujah-hujah berkaitan antaranya penempatan majoriti Islam dan berhampiran masjid. Untuk status tanah, ia tidak perlu diterangkan lagi kerana jelas menyatakan tidak boleh membina memorial," katanya kepada Media Selangor.

Beliau menggesa MBDK dan pihak berkaitan menolak sepenuhnya cadangan pembinaan memorial tersebut.

Sebelum ini, media melaporkan majoriti penduduk menolak projek yang membabitkan Lot 82022 dan beberapa lot bersebelahan kerana terlalu hampir dengan Masjid Kampung Raja Uda serta kawasan perumahan.

Berikutan itu, pada 11 Jun lalu, penduduk Kampung Raja Uda menyerahkan memorandum kepada MBDK bagi membantah pembinaan sebuah memorial empat tingkat yang didakwa menjejaskan keharmonian dan keselamatan komuniti setempat.

Diketuai Ahli Dewan Negeri Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri menegaskan bantahan itu tidak berunsur politik atau keagamaan, sebaliknya membabitkan sensitiviti lokasi kerana terlalu hampir dengan Masjid Kampung Raja Uda dan kediaman.

Menerusi bantahan itu, beliau mendesak MBDK menolak cadangan pembinaan bangunan memorial itu berikutan tapak itu dizonkan sebagai zon kediaman dan perniagaan terhad.

Malah, katanya sekiranya projek diteruskan, kerja cerucuk dan penggunaan jentera berat boleh menyebabkan keretakan struktur rumah selain kawasan itu 85 peritus daripada beragama Islam.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.