ad
EXCO

Selangor cadang lesen khusus aktiviti perkhemahan, ekopelancongan di lokasi berisiko

18 Jun 2025, 1:22 PM
Selangor cadang lesen khusus aktiviti perkhemahan, ekopelancongan di lokasi berisiko
Selangor cadang lesen khusus aktiviti perkhemahan, ekopelancongan di lokasi berisiko

SHAH ALAM, 18 JUN: Kerajaan Selangor sedang mempertimbang pelaksanaan kerangka pelesenan yang lebih khusus di tapak perkhemahan dan ekopelancongan terutamanya di kawasan berisiko.

EXCO Kerajaan Tempatan Dato' Ng Suee Lim berkata pihaknya sedang membuat kajian untuk menambah baik peraturan tapak perkhemahan kerana setakat ini tiada pelesenan khusus untuk perniagaan ekopelancongan.

"Pengusaha tapak perkhemahan terus mencatat peningkatan, dianggarkan 150 hingga 250 sehingga tahun lalu. Buat masa ini, mereka hanya merujuk garis panduan perancangan (GPP) tapak perkhemahan.

"Permohonan baharu, penilaian dan penguatkuasaan dilakukan berdasarkan garis panduan tersebut yang berfungsi dalam kelulusan perancangan dan mengawal operasi di tapak perkhemahan.

"Tiada sistem perlesenan untuk perniagaan eko-pelancongan setakat ini dan Kerajaan Negeri kini sedang mengkaji klasifikasi perlesenan lebih spesifik di kawasan sensitif," lapor TheStar hari ini.

[caption id="attachment_706121" align="aligncenter" width="656"] EXCO Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Dato’ Ng Suee Lim bercakap kepada media ketika temu bual di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 22 Januari 2025. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR[/caption]

Dalam pada itu, Suee Lim memaklumkan pentadbiran negeri sedang melaksana pelbagai usaha bagi memastikan pembangunan pelancongan seiring dengan perkembangan ekonomi.

"Buat masa ini, aktiviti tapak perkhemahan dan ekopelancongan tertumpu di Hulu Selangor, Hulu Langat, Gombak dan Kuala Selangor.

"Kita mahu keseimbangan perlindungan alam semulajadi dan pelancongan mampan di Selangor," katanya.

Sebelum ini Dato’ Menteri Besar Dato’ Amirudin Shari berkata garis panduan berhubung ketetapan dan peraturan aktiviti perkhemahan akan dikuatkuasa sebagai langkah menjamin keselamatan nyawa.

Ia susulan kejadian tragedi tanah runtuh tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya, Batang Kali pada Disember 2022 yang mengorbankan 31 nyawa.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.