ad
AGENDA

PM: Jawatankuasa tangani kos penjagaan kesihatan ditubuh, utamakan kepentingan rakyat

17 Jun 2025, 2:10 PM
PM: Jawatankuasa tangani kos penjagaan kesihatan ditubuh, utamakan kepentingan rakyat

KUALA LUMPUR, 17 JUN: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan penubuhan jawatankuasa bersama kementerian untuk menangani peningkatan kos penjagaan kesihatan yang kini menjadi salah satu cabaran utama yang menjejaskan kehidupan rakyat.

Beliau berkata jawatankuasa yang terdiri daripada Kementerian Kewangan, Kementerian Kesihatan dan Bank Negara Malaysia (BNM) itu akan bekerjasama untuk memastikan penjagaan kesihatan yang berkualiti, mampu dimiliki dan boleh diakses oleh semua rakyat Malaysia.

"Bagi kebanyakan rakyat Malaysia, penjagaan kesihatan swasta semakin sukar didapatkan kerana kos perubatan yang semakin meningkat. Ini bukan semata-mata kebimbangan ekonomi. Ia adalah soal kesejahteraan negara," kata beliau menerusi ucaptama pada Simposium Sasana 2025, di sini, hari ini

Anwar berkata negara perlu bersedia untuk melakukan anjakan asas ke arah sistem penjagaan kesihatan swasta berasaskan nilai yang mengutamakan hasil, ketelusan dan kesaksamaan.

“Pembaharuan utama termasuk penetapan harga yang lebih jelas, penjagaan kesihatan digital yang lebih kukuh dan akses yang diperluaskan melalui pilihan mampu milik seperti produk insurans perubatan berasaskan sejagat.

"Sekali lagi ditekankan matlamat kita adalah untuk menjadikan penjagaan kesihatan sebagai tonggak daya tahan negara...Kita bukan membicarakan tentang pelarasan kecil atau anjakan paradigma kecil," kata beliau.

Anwar menegaskan bahawa usaha reformasi kerajaan bukan hanya sekadar di permukaan tetapi usaha struktur yang berpandukan belas kasihan, dasar yang kukuh dan keperluan untuk rakyat.

“Insha-Allah, Saya secara peribadi akan melihat pembaharuan ini dilaksanakan” kata beliau.

-- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.