ad
BERITA UTAMA

Empat kaedah fikah selepas Rasulullah wafat tangani masalah baharu

13 Jun 2025, 3:30 PM
Empat kaedah fikah selepas Rasulullah wafat tangani masalah baharu

Keperluan menyelesaikan masalah-masalah baharu yang timbul selepas pembukaan wilayah Islam pada zaman para sahabat menuntut peluasan skop ilmu fikah. Tidak dapat tidak, penyelesaian bagi setiap masalah baharu perlu dirujuk terlebih dahulu kepada kitab Allah SWT kerana ia asas agama, wahyu Ilahi dan kalam-Nya yang jelas.

Jika penyelesaian tidak ditemukan dalam al-Quran, rujukan dibuat kepada sunnah Rasulullah SAW kerana sunnah merupakan penjelasan terhadap wahyu. Jika terdapat permasalahan yang tiada nas daripada al-Quran mahupun sunnah, mereka merujuk pandangan para ulama dari kalangan sahabat yang berautoriti dalam ilmu fikah.

Apabila mereka mencapai kata sepakat dalam sesuatu perkara, keputusan dibuat berdasarkan persepakatan tersebut. Itulah yang dinamakan sebagai ijmak.

Sekiranya Rasulullah SAW mengizinkan para sahabatnya berijtihad atau memberi isyarat ke arah itu sebagaimana dalam hadis Mu‘az, maka para sahabat juga membimbing para qadi ke arah sama andai mereka tidak menemukan hukum dalam al-Quran dan sunnah.

Dalam surat Umar bin al-Khattab kepada Shurayh, beliau menulis:

“Jika engkau menemui sesuatu dalam Kitab Allah, maka berhukumlah dengannya dan jangan berpaling kepada selainnya. Jika datang kepadamu sesuatu yang tidak terdapat dalam Kitab Allah, maka berhukumlah dengan apa yang telah disunnahkan oleh Rasulullah SAW. Jika datang kepadamu sesuatu yang tidak terdapat dalam Kitab Allah dan tidak disunnahkan oleh Rasulullah SAW, maka berhukumlah dengan apa yang telah disepakati oleh orang ramai (ijmak).

"Dan jika datang kepadamu sesuatu yang tidak terdapat dalam Kitab Allah, tidak pula dalam sunnah Rasulullah SAW, dan tidak ada sesiapa pun sebelum engkau yang membicarakannya, maka jika engkau mahu berijtihad dengan pandanganmu, maka majulah; dan jika engkau mahu untuk tidak melakukannya, maka mundurlah. Namun, aku tidak melihat undur itu melainkan lebih baik bagimu.”

Cara Abu Bakar serta Umar mengikut kaedah sama. Abu ‘Ubaid dalam kitab al-Qadha’ meriwayatkan daripada Maimun bin Mihran:

"Apabila suatu hukum dibentang kepada Abu Bakar as-Siddiq, beliau akan meneliti kitab Allah SWT. Jika beliau mendapati sesuatu yang dapat dijadikan sandaran hukum, maka beliau berhukum dengannya. Jika tidak ditemui dalam kitab Allah, beliau meneliti sunnah Rasulullah SAW. Jika beliau menemui padanya sesuatu yang dapat dijadikan hukum, maka beliau berhukum dengannya. Jika perkara itu masih tidak dapat diselesaikan, beliau bertanya kepada orang ramai: 'Adakah kalian mengetahui bahawa Rasulullah SAW pernah menetapkan hukum dalam perkara ini?'

Maka kadang-kadang akan berdiri sekumpulan orang dan berkata: 'Rasulullah SAW menetapkan hukum begini dan begitu.'

Jika tidak ditemui dalam sunnah, beliau menghimpunkan pemimpin masyarakat dan bermesyuarat dengan mereka. Jika mereka mencapai kata sepakat dalam sesuatu perkara, beliau berhukum dengannya.

Begitu juga Umar. Apabila tidak menemukan hukum dalam al-Quran dan sunnah, beliau bertanya: 'Adakah Abu Bakar pernah memutuskan hukum dalam perkara ini?' Jika didapati Abu Bakar pernah berbuat demikian, beliau mengikutinya. Jika tidak, beliau menghimpunkan para ulama dan bermesyuarat dengan mereka. Jika mereka mencapai kesepakatan, beliau berhukum dengannya.” (Riwayat al-Baghawi dan ad-Darimi)

Daripada Abdullah bin Abi Yazid, beliau berkata: “Aku melihat Ibn ‘Abbas, apabila beliau ditanya tentang sesuatu perkara yang terdapat dalam kitab Allah, beliau berhukum dengannya. Jika tidak terdapat dalam kitab Allah tetapi telah disebut Rasulullah SAW, beliau berhukum dengannya. Jika tidak terdapat dalam kitab Allah dan tidak disebut Rasulullah SAW, namun diputuskan Abu Bakar atau Umar, beliau berhukum dengannya. Jika tidak, barulah beliau berijtihad dengan pandangannya sendiri.”

Daripada Abdullah bin Mas‘ud, beliau berkata: “Telah datang kepada kami suatu zaman dahulu, ketika itu kami tidak memberi sebarang keputusan hukum dan kami juga belum layak melakukannya. Namun Allah menentukan urusan sehingga kami mencapai apa yang kalian lihat sekarang. Maka sesiapa yang dihadapkan dengan sesuatu perkara yang memerlukan keputusan, hendaklah dia berhukum dengan apa yang terdapat dalam kitab Allah.

"Sekiranya perkara itu tidak terdapat dalam kitab Allah, hendaklah dia berhukum dengan apa yang diputuskan Rasulullah SAW. Jika tidak terdapat juga dalam kitab Allah dan Rasulullah SAW tidak memutuskan mengenainya, hendaklah berhukum dengan apa yang diputuskan oleh orang-orang soleh (yang terdahulu).

Dan janganlah dia berkata: ‘Aku takut (tersalah)’ atau ‘Aku berpendapat begini atau begitu,’ kerana sesungguhnya yang haram itu jelas, dan yang halal itu juga jelas manakala antara kedua-duanya terdapat perkara syubhah (meragukan). Maka tinggalkanlah apa yang meragukanmu kepada apa yang tidak meragukanmu.”

Justeru, sumber fikah pada zaman ini terbahagi kepada empat yakni al-Quran, al-Sunnah, ijmak dan qiyas.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.