AGENDA

Kelantangan Malaysia membela rakyat Palestin sejak 1960-an diiktiraf dunia

11 Jun 2025, 5:03 PM
Kelantangan Malaysia membela rakyat Palestin sejak 1960-an diiktiraf dunia
Kelantangan Malaysia membela rakyat Palestin sejak 1960-an diiktiraf dunia

KUALA LUMPUR, 11 JUN: Kelantangan Malaysia membela Palestin daripada perdana menteri, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta orang perseorangan terhadap keganasan rejim Israel disalur dalam pelbagai bentuk di negara ini hakikatnya bukanlah baharu.

Senator Dato’ Dr Prof Emeritus Mohammad Redzuan Othman berkata nasib rakyat Palestin terus mendapat tempat terutama dalam jiwa orang Melayu termasuk ketika tercetusnya Perang Arab-Israel pada 1967.

“Ratusan orang Melayu mendaftar sukarelawan termasuk wanita seperti Fauziah Ghani, Hajah Latifah dan Habibah yang bersemangat luar biasa untuk pergi berperang melawan Israel pada 1967.

“Malaysia juga satu-satunya mempunyai kekuatan kapasiti passport menghalang kemasukan Israel ke dalam negara termasuk berkunjung ke wilayah haram rejim Zionis itu,” katanya.

Bercakap pada syarahan dan forum kenegaraan di Universiti Malaya (UM) di sini hari ini, Mohammad Redzuan memberitahu kerajaan sendiri sejak kepimpinan Tunku Abdul Rahman terus konsisten menyokong perjuangan rakyat Palestin hingga kini.

[caption id="attachment_705227" align="aligncenter" width="1125"] Senator Dato’ Dr Prof Emeritus Mohammad Redzuan Othman (kiri) ketika forum 'Mencari makna kemanusiaan di sebalik konflik Palestin' di Dewan Kuliah A Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya Kuala Lumpur pada 11 Jun 2025.Foto HARUN TAJUDIN/MEDIA SELANGOR[/caption]

“Tunku Abdul Rahman menjadi pengasas Sekretariat Islam selepas insiden pembakaran di Universiti Al-Azhar.

“Datuk Seri Anwar Ibrahim juga melancar demo besar-besaran ketika zaman mahasiswa di kedutaan Amerika Syarikat sebagai penentangan terhadap rejim Zionis,” ujarnya.

Menurutnya, Malaysia mempunyai dasar jelas dan lantang terhadap Israel hingga mendapat pengiktirafan dunia walaupun ketegasan pentabiran turut dipertikai di kalangan sesetengah negara Arab.

“Kelantangan perdana menteri membawa suara Palestin di pentas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu termasuk berjumpa Cancelor Jerman Olaf Scholz dan bekas pemipin Hamas Ismail Haniyeh ketika itu mendapat pengiktirafan dunia.

“Walaupun terdapat kritikan dan suara Malaysia dipersoalkan oleh beberapa negara Arab bagi menjaga kepentingan masing-masing, rekod baik ini mesti diteruskan,” katanya.

Forum bertajuk Mencari Makna Kemanusiaan anjuran bersama Universiti Selangor dan Institut Darul Ehsan itu turut menampilkan Ketua Pengarah Akademik Kenegaraan Malaysia Dato’ Dr Roslan Hussin selaku panel.

Israel bersumpah untuk menghancurkan Hamas selepas serangan kumpulan itu pada 7 Oktober 2023 dan mengembalikan semua tebusan sebagai sebahagian daripada objektif peperangannya.

Serangan Hamas mengorbankan lebih 1,200 orang, manakala serangan Israel menyebabkan lebih 54,000 kematian di Gaza, menurut angka daripada kedua-dua pihak.