ad
BERITA UTAMA

Rai Gawai, Kaamatan di perantauan: Tradisi Borneo terus semarak di Selangor

1 Jun 2025, 10:00 AM
Rai Gawai, Kaamatan di perantauan: Tradisi Borneo terus semarak di Selangor
Rai Gawai, Kaamatan di perantauan: Tradisi Borneo terus semarak di Selangor
Rai Gawai, Kaamatan di perantauan: Tradisi Borneo terus semarak di Selangor
Rai Gawai, Kaamatan di perantauan: Tradisi Borneo terus semarak di Selangor
Rai Gawai, Kaamatan di perantauan: Tradisi Borneo terus semarak di Selangor
Rai Gawai, Kaamatan di perantauan: Tradisi Borneo terus semarak di Selangor
Rai Gawai, Kaamatan di perantauan: Tradisi Borneo terus semarak di Selangor

SHAH ALAM, 1 JUN: Jauh beribu batu dari tanah kelahiran tidak pernah memadamkan semangat anak Borneo untuk terus menjulang warisan leluhur dalam menyambut Kaamatan dan Hari Gawai.

Kaamatan, diraikan oleh masyarakat Kadazan, Dusun, Murut dan Rungus di Sabah (30-31 Mei) sementara Hari Gawai (1-2 Jun) oleh kaum Dayak di Sarawak, asalnya adalah perayaan kesyukuran selepas musim menuai padi.

Namun di perantauan, ia terus berkembang menjadi jambatan perpaduan yang menyatukan pelbagai bangsa dalam semangat kebudayaan yang sama.

Di Selangor, detik keramat kedua-dua perayaan itu tetap dirai saban tahun, bukan sekadar adat, tetapi lambang cinta yang utuh kepada akar budaya dan jati diri yang tidak pernah luntur.

[caption id="attachment_703209" align="aligncenter" width="732"] Ricky Jawan, 35, ketika temubual di Gereja SIB Shah Alam pada 22 April 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR[/caption]

Bagi Ricky Jawan, 35, anak Dusun dari Kota Marudu yang sudah lebih 13 tahun menetap di Selangor, Kaamatan lebih daripada sekadar ritual, ia adalah roh identiti warisan yang merentas masa dan generasi.

Beliau mengimbau asal-usul perayaan itu yang berpaksikan kisah legenda Huminodun, gadis suci Kadazan Dusun yang sanggup mengorbankan dirinya demi menyelamatkan rakyat daripada kebuluran.

Pengorbanan itu menyuburkan kembali tanah dan memulihkan kehidupan, satu simbol kasih dan keberanian yang diabadikan dalam budaya hingga ke hari ini.

“Kaamatan umumnya disambut etnik Kadazan, Dusun, Murut dan Rungus tetapi kini ia disambut pelbagai lapisan masyarakat di Sabah, tanpa mengira bangsa dan agama kerana kini lebih menjurus kepada budaya.

"Dalam konteks sekarang, sambutannya lebih kepada tanda syukur, keberhasilan dalam pekerjaan atau perniagaan,” katanya kepada Media Selangor baru-baru ini.

Antara acara penting, katanya, termasuk Unduk Ngadau, pertandingan ratu tradisional yang bukan hanya menilai kecantikan fizikal tetapi juga keperibadian, pengetahuan budaya dan kebijaksanaan peserta dalam mewakili komuniti masing-masing.

[caption id="attachment_703306" align="aligncenter" width="730"] Barisan penari tradisional bergambar kenangan selepas melakukan persembahan dalam satu majlis di Pasar Borneo Seri Kembangan pada 28 November 2019. Foto Pasar Borneo[/caption]

“Sambutan Kaamatan di Selangor walaupun sederhana tapi tetap meriah, namun, bagi yang sudah mempunyai kepercayaan agama masing-masing, kita harus bijak membezakan amalan mana yang boleh diikuti dan mana tidak. Pada masa sama, tidak mengabaikan kebudayaan kita,” katanya.

Di sudut lain Borneo, semangat yang sama juga terpahat dalam sambutan Hari Gawai, menurut Nelson Entap, 57, anak jati Kapit, Sarawak.

Baginya, walaupun berlatar budaya dan legenda berbeza, Gawai dan Kaamatan berkongsi roh yang satu iaitu syukur atas kehidupan dan usaha yang membuahkan hasil.

[caption id="attachment_703301" align="aligncenter" width="788"] Pengerusi Pasar Borneo Seri Kembangan Nelson Entap ketika ditemui Media Selangor di pasar berkenaan pada 24 Mei 2025. Foto HARUN TAJUDIN / MEDIA SELANGOR[/caption]

“Hari Gawai disambut semua orang Dayak, tidak kira dia Melanau atau Iban. Kalau di Sarawak (yang sambut) tidak kira agama, kerana kita raikan ini bukan penyembahan atau ritual tapi perayaan, lebih kepada kebudayaan nenek moyang kita.

“Ada juga yang masih amalkan ritual, tapi sekarang ritual itu sudah kurang dan kebanyakan kita rayakan Hari Gawai sebagai satu budaya untuk bangsa,” katanya.

[caption id="attachment_703300" align="aligncenter" width="733"] Warga Sabah dan Sarawak di Selangor bergaya dalam busana tradisional sempena sambutan Hari Gawai 2024 di Petaling Jaya. Foto Nelson Entap[/caption]

Menurutnya, sambutan Hari Gawai biasanya diserikan dengan niti daun iaitu perarakan budaya berpakaian tradisional, persembahan tarian dan ngetas ranyai iaitu simbolik memotong dahan pokok ranyai dihiasi buah, duit dan hadiah lain sebagai simbol hasil tuaian dan kemakmuran.

“Makanan tradisional popular ketika Hari Gawai termasuklah kuih tradisi iaitu penganan, penyaram, ayam pansuh atau manuk pansuh dan juadah tradisional berasaskan hasil hutan seperti umbut,” katanya.

[caption id="attachment_703208" align="aligncenter" width="723"] Hari Gawai tidak lengkap tanpa rasa kuih penyaram, ayam pansuh dan kek lapis, sajian tradisi yang membangkitkan kenangan. Foto Nelson Entap[/caption]

Nelson, yang juga Pengerusi Pasar Borneo Seri Kembangan memaklumkan sambutan bersama Gawai-Kaamatan akan diadakan di lokasi itu pada 12 Julai ini.

Menurutnya, sambutan itu dimeriahkan dengan persembahan seni, hidangan istimewa, perarakan budaya dan pertunjukan pakaian tradisional — satu lagi usaha menghidupkan memori kampung halaman di bumi Semenanjung.

“Budaya Hari Gawai atau Kaamatan ini, kalau tidak diteruskan setiap tahun ia boleh hilang ditelan zaman. Saya sarankan badan bukan kerajaan (berkaitan Borneo) yang ada di Semenanjung khususnya, perkenalkan budaya kita terutama kepada generasi muda supaya ia tidak lenyap begitu saja,” katanya penuh harap.

[caption id="attachment_703207" align="aligncenter" width="810"] Nelson Entap (kanan, duduk) menyambut Hari Gawai bersama keluarganya di Selangor. Foto Nelson Entap[/caption]

Di tengah hiruk-pikuk kota moden yang tidak pernah tidur, gema gong dan lenggok tarian etnik ini menjadi saksi bahawa akar budaya tidak pernah mati.

Selagi anak-anak Borneo seperti Ricky dan Nelson terus menjunjung warisan dengan bangga, budaya itu akan kekal hidup, bukan sekadar dalam kenangan tetapi dalam setiap langkah generasi yang mewarisinya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.