BERITA UTAMA

Jadi perokok pasif, paru-paru ibu dua anak empat kali ditebuk

31 Mei 2025, 12:00 PM
Jadi perokok pasif, paru-paru ibu dua anak empat kali ditebuk

Dadanya berat, kerongkongnya seakan-akan tersekat. Makin cuba menghirup oksigen, makin terasa sakit. Itu yang dialami Noor Fatihah Mohd Rosli sebelum disahkan sebagai perokok pasif.

Petaka itu menyebabkannya dua kali masuk ke hospital. Lebih malang, empat kali paru-parunya ditebuk. Pertama kali pada 2017, kemudian 2019. Semuanya akibat asap rokok basi.

Mulanya, beliau yang menghidap lelah atau asma sejak berusia lima tahun menyangka keadaan itu cuma sakit biasa sahaja. Namun, serangan pada 2017 itu terasa aneh. Terlalu azab, katanya.

Soalan pertama pakar di Hospital Besut Terengganu sama ada perokok atau memelihara kucing di rumah. Doktor membuat imbasan sinar-X. Terkejut Noor Fatihah.

Keputusan menunjukkan paru-parunya dipenuhi udara kotor. Gadis kelahiran Terengganu yang kini berusia 25 tahun itu teringat, hidupnya sehari-harian dikelilingi kelompok perokok tegar.

“Bukan setakat bau rokok, asap berkepul-kepul sudah lali bagi saya. Ada sahaja (asap) di sekeliling saya hampir setiap hari. Bukannya hendak hidu tapi orang sekeliling dekat dengan saya.

“Kalau saya lari, nanti kata bukan hisap pun. Bukan saya yang sakit. Tapi akhirnya saya menderita dan disahkan jadi perokok pasif. Tidak merokok pun sudah jadi ‘perokok’,” katanya.

Ibu kepada seorang anak itu diwawancara Media Selangor melalui telefon pada 23 Mei sempena Hari Tanpa Tembakau Sedunia pada setiap 31 Mei.

Mengingati detik ditempatkan dalam wad kecemasan pada 2017, Noor Fatihah yang bekerja di kedai ubat menganggapnya pengalaman ngeri.

Tebuk paru-paru

Wayar panjang ditebuk masuk ke paru-paru. Walau dibius, masih terasa pisau kecil menoreh bahagian bawah ketiak. Perlahan-lahan seakan-akan ada wayar memasuki tubuhnya.

Beliau menjerit sekuat hati kerana terlalu sakit. Deritanya hanya Tuhan yang tahu. Ibu yang menemani pada saat itu hanya mampu mendengar rintihannya.

“Lebih perit apabila wayar dipasang pada paru-paru tercabut, sebab itulah paru-paru terpaksa ditebuk kali kedua. Difahamkan jika pada wayar ada gelembung udara, bermaksud ada udara tidak elok cemari bahagian paru-paru,” katanya.

Meski cuba menjauhi perokok tegar, Noor Fatihah tetap kalah. Selang dua tahun, sekali lagi beliau dimasukkan ke hospital. Kali ini lebih buruk, paru-parunya mengandungi air.

Dua kali paru-parunya ditebuk lagi demi menyelamatkan nyawa. Pengalaman kali kedua pada 2019 itu benar-benar menginsafkannya. Gadis berkenaan tekad tidak mahu mendekati perokok tegar.

Beliau menggesa orang ramai menjauhi asap rokok. Gambarnya di hospital dimuat naik ke TikTok dan tular. Noor Fatihah tidak mahu anaknya turut menjadi mangsa asap rokok basi. Dalam aplikasi itu, Noor Fatihah menekankan kepentingan adab dalam merokok.

"Hendak nasihati orang berhenti merokok memang susah. Ada yang berhenti pun kembali merokok. Tetapi mereka kena ingat, jika sayang keluarga, tinggalkanlah rokok. Bukan saja mereka yang dapat sakit, mungkin ahli keluarga yang tidak bersalah pun berisiko hilang nyawa,” katanya.

Mengikut Kementerian Kesihatan, kira-kira 30 peratus perokok pasif berisiko kena serangan jantung dan barah (25 peratus).