BERITA UTAMA

Vape bahaya! Guna cecair kimia berperisa, nikotin lebih tinggi

28 Mei 2025, 10:00 AM
Vape bahaya! Guna cecair kimia berperisa, nikotin lebih tinggi

SHAH ALAM, 28 MEI: Rokok elektronik atau vape sering dianggap alternatif lebih selamat berbanding kaedah merokok konvensional.

Bagi generasi hari ini, penggunaannya juga dikaitkan dengan gaya hidup santai dan moden. Maka tidak hairanlah, ramai golongan dewasa dan remaja terjebak dalam penggunaan vape tanpa menyedari mudarat terhadap kesihatan diri.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tahun lalu mendedahkan, penggunaan bahan itu meningkat 600 peratus dengan 5.8 peratus pengguna dikenal pasti pada 2023 berbanding 0.8 peratus pada 2011.

Bimbang dengan peningkatan ketara itu, Johor menjadi negeri pertama mengharamkan penjualan rokok elektronik sepenuhnya sejak 2016, diikuti Kelantan.

Terengganu dan Perlis pula bermula 1 Ogos ini, manakala Melaka dan Selangor sedang mempertimbangkan untuk mengenakan larangan sama.

Wartawan NADIAH ZAMLUS menyusun semula temu ramah Bicara Semasa Bahana Vape, kendalian ALIFF HAIQAL MOHAMED bersama Perunding Perubatan Keluarga dan Perubatan Gaya Hidup Pusat Perubatan MSU Dr Faridah Mohd Zin.

APA ITU E-ROKOK?

  • peranti elektronik mengandungi nikotin
  • terbaharu dikenali sebagai ‘E-Cigs’, ‘mods’, ‘E-Hookahs’ dan pod
  • tidak guna tembakau sebagai sumber penghasilan asap tetapi cecair kimia berperisa

POTENSI KETAGIH

  • nikotin punca ketagihan
  • sekali cuba mungkin cenderung hisap kembali
  • bahan perasa turut jadi punca ketagih
  • berbanding rokok, vape lebih cepat ketagih untuk hisap berterusan

PERBEZAAN DENGAN ROKOK

  • kandungan nikotin lebih tinggi kerana tiada kawalan
  • dicipta dengan pelbagai perisa enak
  • ada antaranya dihasil tanpa asap dan bau
  • mudah diubahsuai kerana kandungan cecair boleh bertukar
  • risiko keracunan kanak-kanak tinggi kerana warna menarik dan bau harum

KESAN KESIHATAN

  • lebih bahaya kerana bahan perisa memasuki paru-paru
  • lebih cepat sesak nafas dan rasa tersekat
  • kesan nikotinnya lebih sensitif terhadap remaja berisiko terbantut pembesaran
  • berisiko terkena kanser paru-paru

GEJALA AWAL

  • cepat sesak nafas ketika menaiki tangga
  • mudah batuk pada waktu malam
  • susah bernafas bila berjalan jauh

CARA CEGAH

  • minta bantuan pengamal perubatan
  • ubat akan ditawarkan mengikut tahap ketagihan
  • terapi gantian nikotin dalam bentuk pelekat atau gula-gula getah

TINDAKAN KERAJAAN SELANGOR

  • 18 April: Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari meneliti cadangan mengharamkan penjualan rokok elektronik di Selangor
  • 19 Mei: Kerajaan Negeri pertimbang larangan jual vape, sedang bincang dengan KKM, Jabatan Kesihatan Negeri, keputusan Julai depan
  • 20 Mei: Selangor arah pihak berkuasa tempatan sita iklan vape di semua medium fizikal termasuk papan iklan digital atau LED