ad
BERITA UTAMA

Kisah Petaling tangani Covid-19 dibukukan, peristiwa 13 Mei jadi rujukan

27 Mei 2025, 7:30 PM
Kisah Petaling tangani Covid-19 dibukukan, peristiwa 13 Mei jadi rujukan
Kisah Petaling tangani Covid-19 dibukukan, peristiwa 13 Mei jadi rujukan
Kisah Petaling tangani Covid-19 dibukukan, peristiwa 13 Mei jadi rujukan

SHAH ALAM, 27 MEI: Pengalaman sebahagian pentadbiran Kerajaan Selangor menangani Covid-19 kini boleh dibaca menerusi naskhah Selangkah Ke Hadapan: Pengalaman Pentadbir Petaling Dalam Mendepani Covid-19, yang diluncur hari ini.

Buku nukilan empat individu diketuai Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (Pembangunan) Dato’ Johary Anuar, merakamkan kisah benar anggota pentadbir Petaling ketika mengurus wabak itu, lima tahun lalu.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata idea untuk menulis buku terbabit dicadangkan beliau bagi memastikan setiap keputusan dan langkah dapat dijadikan sebagai rujukan pada masa depan.

“Kenapa saya cadangkan untuk tulis buku ini? Kerana pada waktu itu sebenarnya kita teraba-raba kerana kita tiada rujukan. Rujukan terakhir kita berkenaan perintah berkurung adalah pada peristiwa 13 Mei.

“Pada masa itu, kita guna kaedah cuba jaya dalam depani Covid-19. Pada waktu itu juga kita kadang-kadang buat keputusan kurang tepat atau tindakan agak lewat kerana kita bukan bersaing dengan senjata,” katanya ketika menyempurnakan peluncuran buku berkenaan di sini, hari ini.

[caption id="attachment_703074" align="alignnone" width="868"] Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menandatangani plak perasmian ketika majlis pelancaran buku sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur di WTC Kuala Lumpur pada 27 Mei 2025. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR[/caption]

Majlis sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2025 (PBAKL25) di Pusat Dagangan Dunia (WTC) turut dihadiri EXCO Belia Najwan Halimi dan Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) Datin Paduka Mastura Muhamad.

Sementara itu, Johary berkata pihaknya mengambil masa setahun untuk menyiapkan buku tersebut selain berdepan cabaran untuk mengingati setiap insiden penting sepanjang pandemik Covid-19.

[caption id="attachment_703075" align="alignleft" width="347"] Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Merangkap Pengarah UPEN Dato' Johary Anuar[/caption]

Bekas Pengerusi Jawatankuasa Bencana Daerah Petaling ini menambah, daerah itu antara yang paling kerap menerima Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sekali gus menjadi cabaran besar kepada pasukannya.

“Saya harap buku ini dapat penerimaan masyarakat, khususnya penjawat awam supaya mereka dapat faham setiap proses yang berlaku. Ia juga boleh menjadi galakan kepada mereka untuk cuba menulis,” katanya.

Buku Selangkah Ke Hadapan: Pengalaman Pentadbir Petaling Dalam Mendepani Covid-19 terbitan PPAS boleh dibeli dengan harga RM35 di Pavilion Selangor sepanjang PBAKL25.

Selain Johary, buku berkenaan turut ditulis bersama Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) Julaiha Jamaludin, Norazlina Yusof, dan Normaziatul Akmal Che Azhar.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.