SEPANG, 25 Mei: Kerajaan Negeri sedang meneliti cadangan untuk menaikkan caj penggunaan plastik sebagai langkah awal menyahut saranan Kerajaan Persekutuan yang merancang melaksanakan larangan penggunaan plastik pakai buang menjelang Januari 2026.
EXCO Alam Sekitar Jamaliah Jamaludin berkata usaha itu masih dalam peringkat perbincangan dan pengumuman rasmi akan dibuat dalam masa terdekat.
"Kami dapat maklum balas caj 20 sen terlalu rendah untuk masyarakat ambil serius terhadap perkara ini.
"Beberapa cadangan sedang dipertimbang termasuk menaikkan caj seperti di Pulau Pinang yang kita lihat pelaksanaannya lebih progresif," katanya selepas merasmikan Program Kempen Bebas Plastik Peringkat Daerah Sepang 2025 di Pantai Bagan Lalang di sini, semalam.
Tambah Jamaliah, cadangan untuk melaksanakan larangan penggunaan beg plastik sepenuhnya pada hari-hari tertentu juga sedang dipertimbangkan.
"Sekiranya dasar ini dimuktamadkan peniaga dilarang untuk menyediakannya kepada pelanggan walaupun dikenakan caj 50 sen atau RM1," jelasnya.
Menurut Jamaliah, sejak 2010 hingga Mac 2025, RM22 juta telah berjaya dikutip daripada seluruh pihak berkuasa tempatan (PBT) menerusi caj penggunaan plastik.
Katanya kutipan itu digunakan untuk mengadakan program dan kempen bagi mendidik masyarakat tentang bahaya penggunaan bahan itu.
"Saya harap kutipan ini menurun sebab kalau semakin tinggi bermaksud masih ramai di luar sana yang gunakan plastik," katanya.
Dalam pada itu, Jamaliah turut menyeru mana-mana pihak yang boleh membekalkan bekas makanan dan minuman berasaskan bahan mesra alam untuk tampil bagi menyokong usaha ini.
Beliau juga berharap Kempen Bebas Plastik ini mampu menjadi titik tolak kepada transformasi hijau yang lebih menyeluruh di Selangor.