ad
BERITA UTAMA

Islam hapus amalan jahiliah, tangani mudarat syirik, assabiyah

23 Mei 2025, 6:00 AM
Islam hapus amalan jahiliah, tangani mudarat syirik, assabiyah
Islam hapus amalan jahiliah, tangani mudarat syirik, assabiyah

Syariat Islam datang ketika bangsa Arab memiliki pelbagai akidah, urusan muamalah, adat resam, dan kebiasaan. Maka, apa-apa yang baik dan bermanfaat daripadanya diperakui dan diperbaiki syariat seperti sistem qasamah, pembayaran diyah (wang pampasan), dan beberapa sifat mulia lain. Namun, apa-apa yang memudarat dan membawa kerosakan ditegah, diharamkan serta dibatalkan. Antara perkara terpenting yang dibatalkan ialah:

Pertama, akidah berunsur penyembahan berhala dan unsur syirik, termasuk perbuatan mereka menyandarkan kebinasaan kepada masa (al-dahr), kekufuran mereka terhadap ayat-ayat Allah, hari akhirat serta kehidupan selepas mati. Mereka juga mempercayai malaikat merupakan anak perempuan Allah, memperuntuk bahagian ternakan dan hasil tanaman untuk berhala mereka serta mempercayai kepercayaan karut berkenaan bahirah, saibah, wasilah, dan hami.

Kedua, amalan buruk yang keji seperti membunuh anak kerana takutkan kemiskinan serta menanam hidup-hidup anak perempuan kerana takut akan malu.

Ketiga, perkahwinan cara jahiliah. Sekumpulan lelaki – kurang sepuluh orang –berkumpul dan mendatangi seorang wanita, lalu bersetubuh dengannya. Jika wanita itu hamil dan melahirkan anak, dia akan mengirim berita kepada semua lelaki tersebut, dan tiada seorang pun daripada mereka boleh mengelak. Apabila mereka berkumpul, wanita itu berkata: "Kamu semua tahu apa yang berlaku antara aku dan kamu. Anak ini ialah anakmu, wahai si fulan!" Lalu wanita itu menamakan mana-mana lelaki yang disukainya, dan anak itu dinasabkan kepadanya. Lelaki itu tidak boleh menolaknya.

Dan ada seorang lelaki yang berkata kepada isterinya setelah isterinya suci daripada haid: "Pergilah kepada si fulan dan minta dia menyetubuhi kamu."

Lalu si suami menjauhkan diri daripada isterinya dan tidak menyentuhnya sama sekali, sehinggalah jelas isterinya mengandung. Setelah kehamilan terbukti, barulah suami menyetubuhi isterinya semula jika dia mahu. Perbuatan ini dilakukan semata-mata kerana ingin mendapatkan anak berkualiti dan mulia keturunan.

Nikah sebegini dikenali sebagai Nikah Istibda.

Dan apabila seorang lelaki meninggal dunia, warisnya berhak terhadap isterinya: Jika seorang daripada mereka mahu, dia boleh mengahwininya; jika mahu, mereka boleh mengahwinkannya dengan orang lain; dan jika mahu, mereka boleh tidak mengahwinkannya langsung. Mereka lebih berhak terhadap wanita itu berbanding keluarganya sendiri.

Keempat, sistem anak angkat (Tadbiy). Sistem ini diamal dalam masyarakat Arab Jahiliah dan kekal untuk satu tempoh dalam awal zaman Islam sehinggalah turunnya firman Allah SWT: “Dan Allah tidak menjadikan anak angkat kamu itu sebagai anak kamu sendiri. Yang demikian itu hanyalah kata-kata kamu semata-mata yang keluar dari mulut kamu, padahal Allah mengatakan yang benar dan Dia menunjukkan jalan (yang betul). Panggillah mereka (anak angkat itu) dengan nama bapa-bapa mereka; yang demikian itu lebih adil di sisi Allah. Jika kamu tidak mengetahui bapa-bapa mereka, maka anggaplah mereka sebagai saudara-saudara kamu dalam agama dan sebagai maula (orang yang bernaung) kamu.” (Surah al-Ahzab, ayat 4–5)

[caption id="attachment_624365" align="alignnone" width="1032"] Pelajar Tahfiz membaca Al-Quran ketika majlis Tadarus Al-Quran Perdana Hulu Selangor di Masjid Nurul Iman, Hulu Selangor pada 19 April 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI[/caption]

Melebih-lebihkan

Kelima pula, arak, judi, berhala dan anak panah ramalan. Meskipun arak diharamkan secara berperingkat dalam Islam, pada zaman jahiliah arak, judi, berhala (al-ansab) dan anak panah ramalan (al-azlam) adalah amalan biasa.

Keenam, keistimewaan sesetengah kabilah dalam Qisas dan Diyah. Beberapa kabilah diunggulkan dalam hukum qisas (balasan setimpal) dan diyah (wang pampasan). Mereka mengira jumlah luka dan diyah mereka berdasarkan ganda manakala pihak lawan dihitung berdasarkan satu sahaja. Kadang-kadang mereka melebih-lebihkan seperti meminta jumlah hitungan luka yang bukan benar atau meminta qisas daripada bukan pembunuh atau membunuh orang merdeka sebagai gantinya hamba. Keadaan ini berterusan sehingga turunnya ayat-ayat qisas.

Ketujuh, zihar (pengucapan yang memisahkan suami isteri). Zihar dianggap sebagai talak. Contohnya, Aus bin Shamat pernah mengucapkan zihar kepada isterinya Khawlah binti Tha’labah lalu Khawlah datang mengadu kepada Rasulullah SAW. Baginda terus memohon kepada Allah sehingga diturunkan surah Al-Mujadalah yang mengatur hukum zihar.

Kelapan, ila’ (pengikatan berpantang). Pada zaman jahiliah, seorang lelaki boleh mengikat isterinya selama setahun atau dua tahun atau lebih lama tanpa membenarkan isterinya berkahwin lain. Allah menetapkan tempoh ini kepada empat bulan sahaja. Jika suami menikahi isterinya sebelum tempoh tamat, ikatan itu terhapus. Jika tempoh itu berakhir sebelum perkahwinan semula, maka suami diberi pilihan sama ada meneruskan perkahwinan atau memutuskan dengan talak.

Kesembilan, tempat berhenti semasa haji. Quraish dan mereka yang mengikut agama mereka berhenti di Muzdalifah semasa haji dan menyebut tempat itu sebagai al-Hams. Sementara bangsa Arab lain berhenti di Arafah. Setelah Islam datang, Allah memerintahkan Rasulullah SAW untuk berhenti di Arafah, kemudian keluar dari situ sebagaimana firman Allah: "Kemudian berangkatlah kamu dari tempat (Arafah) itu ke tempat yang telah ditentukan bagi manusia..." (surah Al-Baqarah: 198)

Kesepuluh, riba (faedah berlipat ganda). Orang jahiliah menghalalkan riba dengan jumlah berlipat kali ganda. Seseorang berhutang kepada yang lain; apabila tiba waktu pembayaran, si pemberi hutang bertanya sama ada hendak membayar hutang itu atau menambah tempoh dan jumlahnya. Jika tidak dibayar, jumlah hutang dan tempoh bertambah sehingga turunnya larangan riba.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.