ad
AGENDA

Menteri: Lebih 142,000 kes hilang MyKad babit belia, cuai antara faktor

19 Mei 2025, 1:33 PM
Menteri: Lebih 142,000 kes hilang MyKad babit belia, cuai antara faktor
Menteri: Lebih 142,000 kes hilang MyKad babit belia, cuai antara faktor

PUTRAJAYA, 19 MEI: Sebanyak 142,535 atau hampir separuh daripada 285,568 kes kehilangan MyKad dilaporkan sepanjang tahun lalu membabitkan golongan belia berusia 15 hingga 30 tahun, kata Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh.

Beliau berkata angka itu membimbangkan kerana MyKad merupakan dokumen penting dan menjadi akses bagi pelbagai urusan rasmi rakyat negara ini, sama ada bersifat peribadi atau melibatkan urusan kerajaan.

Antara faktor kehilangan MyKad adalah kecuaian iaitu 136,000 kes, dengan kehilangan dokumen penting itu boleh menyebabkan risiko kecurian identiti dan penipuan.

“Apabila golongan belia cuai, (ini) boleh menimbulkan risiko berhadapan denda bagi penggantian MyKad baharu dan (memerlukan) masa penggantian yang boleh mengakibatkan tekanan emosi,” katanya.

[caption id="attachment_659409" align="alignleft" width="500"] Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh ketika berucap pada majlis penyerahan kenderaan Chery kepada pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Paris di pusat jualan Chery di Bukit Puchong pada 22 Ogos 2024. Foto HARUN FADZILLAH MOHD TAJUDIN//MEDIA SELANGOR[/caption]

Hannah berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Kerjasama Strategik antara Kementerian Belia Dan Sukan (KBS) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di sini hari ini, yang turut dihadiri Ketua Pengarah JPN Badrul Hisham Alias.

Selangor merupakan negeri tertinggi merekodkan kes kehilangan MyKad membabitkan belia iaitu 23,000 kes diikuti Kuala Lumpur (20,000 kes) dan Johor (17,000 kes), dengan Hannah tidak menolak kemungkinan keadaan itu disebabkan tiga negeri tersebut merupakan bandar besar.

“Dalam kawasan bandar sekarang ada banyak aktiviti komersial, selalu berlaku penyerahan MyKad di rumah pengawal keselamatan atau bangunan komersial… kemungkinan besar ini berkait rapat,” katanya.

Hannah berkata mesyuarat hari ini memperhalusi beberapa langkah intervensi melalui kerjasama strategik KBS dan JPN seperti kempen advokasi digital melalui penyebaran bahan grafik seperti poster serta video di media sosial dan portal rasmi.

Langkah intervensi itu juga membabitkan penyampaian maklumat perkhidmatan JPN kepada golongan belia, terutama melalui program anjuran KBS seperti penyediaan kaunter atau reruai perkhidmatan JPN ketika penganjuran program utama seperti Hari Belia Negara (HBN) dan Hari Sukan Negara (HSN).

Hannah berkata KBS dan JPN turut bersetuju menjalinkan kerjasama bagi melaksanakan program Menyemai Kasih Rakyat (MEKAR) bagi membantu individu memerlukan perkhidmatan JPN selain bercadang memperluaskan program itu kepada bekas atlet negara.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.