ad
BERITA UTAMA

Aidiladha: Selangor agih 1,700 haiwan korban, bantu rakyat kurang mampu

19 Mei 2025, 12:00 PM
Aidiladha: Selangor agih 1,700 haiwan korban, bantu rakyat kurang mampu

SHAH ALAM, 19 MEI: Program sumbangan ibadah korban Kerajaan Negeri diteruskan bagi menggalakkan masyarakat khususnya mereka kurang berkemampuan melaksanakannya.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata tahun ini Kerajaan Selangor menyumbangkan 1,000 kambing dan 700 lembu kepada surau, masjid dan badan masyarakat.

“Ini merupakan tahun ketujuh berturut-turut Kerajaan Negeri bantu dan beri sokongan supaya aktiviti korban dapat berjalan lancar, baik dan tersusun.

“Dengan semangat Kita Selangor, sumbangan ini beri peluang kepada mereka yang ingin laksana ibadah korban tetapi belum berkemampuan laksanakannya,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi rakaman video yang ditayangkan pada Majlis Perasmian dan Penyerahan Baucar Program Sumbangan Korban Negeri Selangor di Dewan Raja Muda Musa di sini hari ini.

Sementara itu, Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor Dato’ Dr. Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin berkata Kerajaan Negeri memperuntuk RM6 juta bagi sumbangan ibadah korban tahun ini.

Beliau juga mengingatkan anak syarikat Kerajaan Negeri memastikan sumbangan korban yang diagihkan nanti menepati syarat sah ibadah korban.

“Selaku ejen pelaksana, mereka perlu memastikan semua lembu dan kambing yang bakal diagihkan cukup sifat dan memenuhi kriteria seperti ditetapkan hukum syarak.

“Ini bertujuan mengelakkan sebarang isu timbul kemudian hari. Selain itu, jawatankuasa masjid dan surau juga perlu memeriksanya supaya daging diagihkan kepada penerima dalam keadaan baik,” katanya.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.