ad
BUDAYA

Ibu, Lampinku Lupa Kaupakaikan

18 Mei 2025, 12:30 AM
Ibu, Lampinku Lupa Kaupakaikan

Oleh Farahin W.

Suaranya memalu-malu gendang telingaku. Setiap paluan menghantar percik-percik api mencair bebatu tahi telinga yang sudah lama menginap-tidur di dalam. Dalam lohong paling dalam, dinding-dinding terasa panas-basah akan cecair kuning keperang-perangan yang dengan perlahan bertukar sifat, mengalir melekit-lekit. Kumerengkan kepala ke kiri. Kemudian ke kanan. Meskipun dalam setiap laman maya diajarkan kepada aku kalau kananlah yang lebih afdal, kassim sepertiku mana mahu berubah sayap. Yang kiri lebih baik. Yang kiri lebih adil. Aku cuma mahu menyarung sebentuk cincin di jari manis kekasih lalu kuberjanji menikahinya setelah setahun jari itu terhias berlian. Tapi perempuan itu tak mahu setuju. Dan tak mahu pula mendengar rayuanku.

Tubuhkan tercendana seketika lama. Darahku senyap sunyi menghantarkan aku ke ruang maha sepi sekali. Vakum. Mahu kupujuk bagaimana lagi? Sudah aku zahirkan keinginanku, bertelanjang tanpa selindung dan tanpa berteka-teki. Sudah aku tunjukkan diriku yang sebenar kepadanya. Tak ada bohong, tak ada muslihat. Mahu siapkan puluhan helai kertas cadangan berserta rancangan kewangankah? Atau perlu aku layarkan ratusan tayangan pembentangan? Hasratku sederhana sekali. Sederhana. Sekali.

“Kau betul mahu bernikah?”

Bukan begitu, kataku. Habis, kalau bukan begitu, apa? Katanya. Aku terpelanting. Terseret berpuluh kilometer. Kugentel bibirku, kemudian lidahku lalu kutepuk-tepuk pipiku yang berombak-ombak. Aku cuma mahu mengikat setia. Untuk apa? Katanya. Kau mahu bebas mengecilkan dua menjadi satu, begitu? Di dadaku kini, lebam biru besar bertompok-tompok di kiri dan kanan. Ungu dan bergetar-getar. Dari tempat dia berdiri, ada cahaya biru dan merah saling beraduk dan berlingkar. Ia kemudian membesar dan mengecil. Membesar kemudian mengecil. Dia kemudian bergulung-gulung seperti lingkaran ubat nyamuk yang terpisah dua. Aku kecilkan mata, dia mengecil. Aku besarkan mata, dia membesar. Suaranya yang tadi menikam-nikam lantai otakku jadi perlahan dan sayup meninggalkan kamar. Kemudian, seperti tersambung ke pembesar suara, dia berteriak.

“Aku ini cuma menasihati kau sahaja, kalau kau sudah tidak mahu mendengar...”

Cahaya tadi membesar kemudian menggelap. Seperti langit yang ternganga – ia mengaum-membaham-mengaum dan membaham lagi. Cahaya biru dan merah jadi satu, jadi ungu, kemudian buta. Ia kemudian merah mengincar ke segenap ruang. Kulihat bibirnya bercerai lalu terpisah, menjadi dua, satu, dua, satu – dua. Butirnya tak lagi kedengaran melainkan ia menghantar aku ke tingkat yang paling bawah, sesak dan kelam. Aku tak lagi menjawab. Dua bibirku terjahit kemas dengan benang biru. Kutolak dengan lidah, lidahku pula yang terasa pendek. Kukulum lidahku masuk ke dalam lalu kutolak lagi bibir yang menyatu. Kuregangkan – lagi – regang – lagi. Lidahku getah. Diregangkan panjang, seketika ia mantul semula – kecut dan pendek.

“Kau betul mahukan bernikah?”

Ulangnya. Lagi. Aku tak tahu bahagian mana daripada sebaris ayat aku mahu bertunang berkecai dan berceramuk sebelum sampai ke telinganya. Bagaimana menyarung cincin tiba-tiba tergodam menjadi upacara melafaz akad. Entah kenapa sembilan huruf itu dikurangkan dua – bertukar tujuh semuanya. Kututup semua rongga yang terbuka lalu kupejamkan mata. Semuanya bergerak perlahan dan cuma tubuhku yang tergoncang oleh kocak jantung yang berdentum-dentum. Baris ayatku jadi banir. Dan aku jadi tak tahu mengarang kata. Aku jadi anak kecil dengan aaa be bi bo bu yang punya makna.

Aku tak menjawab. Tikar merah jambu di antara rahang dan langit-langit mengecut dan pendek. Prajurit-prajurit putih di hadapan tumbang satu persatu – jadi mayat yang kalau digoncang-goncang – kosong semacam sudah tersedut segala isi. Ia layu, jadi penyek, jadi nipis.  Ba ba bi bi bo bu – kataku. Dia tak menjawab. Pipinya kulihat merah-merah macam perempuan muda mengemis cendol. Kurenung dahinya yang berukir. Dia menjengik. Mencabar aku berkata sesuatu.

“Ba ba be bi bo bu”, kataku. Lalu kujelirkan lidah yang sedari tadi terasa kaku dan batu. Lidahku tak lagi merah jambu melainkan putih-putih semacam tersalut inti Oreo. Tangan kiri kubiarkan tergawang-gawang sebelum suaranya menolak kembali tanganku ke bawah.

“Betullah kalau kau dah besar panjang dan sudah tak mahu lagi mendengar kata, aku takkan lagi memaksa”

“Ba ba..” kataku.

Jemariku mengembang lalu mengecut – menari-narik sendi, tersedut masuk semula ke dalam kulit. Mataku ikut mengecil, hidung, mulut dan telingaku mencair menitis-nitis sebelum ia kekal kecil dan tertempel di kepala. Ba ba ba – kataku. Entah bagaimana leherku bergaris tiga lalu berkumpullah daki-daki di sekelilingnya. Aku mengecut, jadi mini kemudian tubuhku terhempas ke lantai. Cahaya merah di hadapanku kini dengan perlahan jadi merah jambu. Yang kemudiannya mengecil-mengecil-dan menyeruak semula mengisi kamar. Ba ba be bi bo bo – aku ketawa. Geli hati melihat perempuan itu kini berwarna-warni.

“Kalau betul kau mahu bernikah, aku turutkan. Siapkanlah cincin, aku lamar perempuan itu”

Aku ketawa lagi. Mulutnya bergerak-gerak macam cacing gemuk berkepala hitam. Boyot dan terkemut-kemut. Kutahan tawa sebelum ia pecah juga terhekkhekhekhek. Kuorak langkah ke sisinya lalu kududuk dengan punggung sepenuhnya di atas lantair Perutku tak sengaja terasa sakit, ada lego-lego dan syiling dua puluh sen bergolek-golek di dalamnya. Aku jerit – ba ba ba ba, dia tak memandang. Bu bu bu – dia tak berpaling. Telinga kirinya merayap ke kepala lalu berhenti di tengah-tengah. Kududuk di sisi kanan. Kujerit lagi – ba ba ba ba. Dia batu dan telinganya sudah berlari ke dahi. Dia tak mahu mendengarkan aku lagi.

Longkang di tubir mata pecah, takungannya melewah. Dan tanpa dia (dan aku) sedar, lendir hijau memancut keluar dari duburku. Ibu, lampinku lupa kau pakaikan.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.