ad
AGENSI

PBAKL: Selangor ketengah dua naskhah unik termasuk pengalaman pandemik

15 Mei 2025, 12:00 PM
PBAKL: Selangor ketengah dua naskhah unik termasuk pengalaman pandemik

SHAH ALAM, 15 MEI: Buku menghimpunkan gambar lokasi menarik di seluruh Selangor akan diperkenal sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) yang berlangsung 23 Mei hingga 1 Jun depan.

Ketua bahagian korporat Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) berkata naskhah yang memaparkan kompilasi karya pelukis Hisham Salmin juga menjadi alternatif pihaknya dalam usaha mempromosi Tahun Melawat Selangor (TMS2025).

“PBAKL menjadi platform untuk PPAS menyokong usaha negeri dalam menarik lebih ramai pengunjung ke negeri ini. Jadi penganjurannya ini kita manfaatkan dengan perkenalkan buku ini.

“Kita gunakan lukisan-lukisan Hisham sebagai tarikan. Karya Hisham ini dikompilasikan menjadi buku. Ini memudahkan pembaca mendapatkan maklumat lanjut berhubung tempat menarik yang terdapat di setiap daerah,” kata Zafrullah Aris kepada Media Selangor.

Mengulas lanjut, beliau berkata buku terbitan Kerajaan Negeri yang menceritakan situasi pentadbiran ketika berdepan pandemik Covid-19 pada 2020 juga akan dilancarkan di Pavilion Selangor.

“Dalam buku ini, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan) Dato’ Johary Anuar yang ketika itu merupakan pegawai daerah Petaling akan berkongsi pengalaman termasuk kerjasama pihak berkuasa tempatan sepanjang mendepani Covid-19,” katanya.

Selain dua acara berkenaan, Zafarullah berkata Pavilion Selangor turut melibatkan penyertaan Universiti Selangor, Universiti Islam Selangor serta Pusat Pembangunan Kemahiran dan Teknikal Selangor (STDC) bagi menarik kemasukan pelajar.

“Ketika ini, semua institusi pengajian tinggi sedang mengambil pelajar baharu. Kita akan mempromosikan pusat pengajian negeri memandangkan ramai pengunjung dijangka datang ke PBAKL ini,” katanya sambil menambah segmen bersama Sasterawan Negara dan karyawan akan diteruskan.

Pada April lalu, Pengerusi Pengelola PBAKL Mohd Khair Ngadiron berkata pihaknya menjangkakan seramai 1.9 juta pengunjung hadir ke PBAKL sepanjang 10 hari berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.