ad
PBT

Tiga premis niaga warga asing ditutup, operasi tanpa lesen

15 Mei 2025, 8:45 AM
Tiga premis niaga warga asing ditutup, operasi tanpa lesen

SHAH ALAM, 15 MEI: Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) mengeluarkan notis penutupan kepada tiga premis perniagaan warga asing yang dikesan beroperasi tanpa lesen.

Menerusi operasi bersepadu premis warga asing di sekitar daerah berkenaan semalam, MPKS turut mengeluarkan tiga kompaun dan empat tindakan sitaan peralatan perniagaan premis tersebut.

“Operasi ini bertujuan memastikan pematuhan undang-undang oleh premis perniagaan warga asing, khususnya dalam aspek pelesenan, struktur bangunan, kebersihan dan pendaftaran perniagaan.

“Lima premis diperiksa dalam operasi tersebut, namun dua daripadanya didapati tidak beroperasi. Hasil pemeriksaan mendapati beberapa kesalahan dilakukan termasuk tambahan bangunan tanpa kelulusan dan kegagalan mempamerkan papan tanda serta nombor pendaftaran perniagaan,” katanya menerusi Facebook.

Seramai 35 anggota pelbagai jabatan dan agensi terlibat dalam operasi termasuk Jabatan Penguatkuasa, Jabatan Kawalan Bangunan, Jabatan Kesihatan, Jabatan Pembangunan Masyarakat, Unit Korporat MPKS dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Menerusi operasi berkenaan, SSM turut mengeluarkan satu kompaun terhadap sebuah premis yang tidak mematuhi peraturan pendaftaran perniagaan.

Jabatan Kawalan Bangunan MPKS pula mengeluarkan notis pemberitahuan mengikut Akta 133 diikuti Jabatan Kesihatan mengambil tindakan susulan terhadap premis yang membuang cecair kotor di tempat awam.

“MPKS akan meneruskan operasi bersepadu secara berkala bagi memastikan pematuhan sepenuhnya terhadap undang-undang dan syarat perniagaan.

“Kita tidak berkompromi terhadap mana-mana premis yang beroperasi secara haram atau menjejaskan kesejahteraan masyarakat dan persekitaran, semua pemilik premis digesa menjalankan perniagaan secara sah,” katanya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.