SHAH ALAM, 15 MEI: Selangor menyasarkan kadar pengangguran negeri menurun kepada dua peratus pada tahun ini.
EXCO Sumber Manusia V Papparaidu berkata pihaknya optimis sasaran itu berjaya dicapai dengan beberapa pelaksanaan termasuk menarik pelabur luar datang ke Selangor.
“Tahun lalu, kadar pengangguran adalah 2.2 peratus dan terus mencatat penurunan setiap tahun. Kita sasar angka itu menurun sekurang-kurangnya kepada dua peratus tahun ini.
“Dalam mengurangkan kadar pengangguran, kita sedang menyediakan infrastruktur termasuk menarik pelabur ke Selangor," katanya pada sambutan Hari Pekerja peringkat negeri di Foyer SUK, di sini hari ini.
Menurut beliau, penurunan ini bukti kejayaan Kerajaan Negeri dalam melaksanakan dasar ekonomi sekali gus membuka peluang pekerjaan dalam pelbagai sektor.
Sebelum ini, Ketua Perangkawan Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin memaklumkan pasaran buruh Malaysia terus mencatatkan kemajuan stabil pada suku pertama tahun ini.
Katanya, di peringkat negeri, Wilayah Persekutuan Putrajaya merekodkan kadar pengangguran terendah iaitu 1.8 peratus diikuti Melaka dan Pahang (masing-masing 1.9 peratus) serta Selangor (2.2 peratus).
Terdahulu, dalam ucapannya, Papparaidu yang juga EXCO pembasmian kemiskinan menyeru semua penjawat awam negeri terus menjalin kerjasama dan bersatu padu bagi memastikan Selangor kekal berdaya saing.
“Bukan sahaja penjawat awam, tetapi sektor swasta termasuk yang bekerja sendiri adalah penyumbang penting kepada pembangunan dan kemajuan negara.
“Selain itu, terus bersama memelihara keutuhan perpaduan masyarakat majmuk yang menjadi teras keharmonian negeri,” katanya.