ad
BERITA UTAMA

Bakti ibu pelihara nenek beri inspirasi jadi jururawat

15 Mei 2025, 2:30 AM
Bakti ibu pelihara nenek beri inspirasi jadi jururawat
Bakti ibu pelihara nenek beri inspirasi jadi jururawat

Oleh Sofia Nasir

Kira-kira 23 tahun lalu, Ku Intan Ruaida Ku Abd Halim, 40, menyaksikan sendiri susah payah ibunya menjaga ibu mentua iaitu neneknya yang menghidap penyakit jantung dan buah pinggang.

Ibunya berulang-alik ke hospital saban hari. Selama dua minggu, wanita yang ketika itu berusia 46 tahun menaiki bas sejauh lebih 50 kilometer sehala dari Ijok di Kuala Selangor ke ibu negara.

Ibunya merungut tidak tahu kaedah penjagaan yang betul. Namun, perasaan runsing itu lenyap dek adanya susuk jururawat yang cekap menjaga neneknya ketika si ibu tidak dapat bermalam di hospital.

Wanita itu tidak putus-putus memuji ketangkasan jururawat menguruskan nenek, daripada menukar lampin pakai buang hinggalah menenangkan emosi pesakit.

[caption id="attachment_701111" align="alignleft" width="417"] Ku Intan Ruaida Ku Abd Halim ketika program Bicara Semasa bertajuk Jururawat: Wira Tanpa Sinaran Lampu di Media Selangor pada 8 Mei 2025. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR[/caption]

"Tok (nenek) sakit, panggil jururawat. Dia datang tengok-tengok, rawat sampailah tok selesa dan tertidur. Tiba-tiba tok tak stabil, jururawat datang berlari stabilkan tok," kata Ku Intan Ruaida.

Dari butir tutur itulah yang mendorong beliau untuk berkhidmat sebagai jururawat meski ibu kepada tiga anak itu asalnya memasang impian menjadi seorang guru.

Selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia, Ku Intan Ruaida yang berasal dari Ipoh, Perak memohon masuk ke universiti dalam jurusan diploma kejururawatan. Namun, beliau gagal.

Tidak patah semangat, beliau membuat rayuan. Selepas dua minggu, permohonannya diterima dan mula belajar di Universiti Teknologi Mara (UiTM) kampus Petaling Jaya.

Cabaran getir

Sepanjang kerjaya selama 19 tahun dalam bidang kejururawatan, Ku Intan Ruaida mengakui pandemik Covid-19 antara cabaran getir yang ditempuhi bersama rakan setugas.

Macam-macam perasaan menjengah emosi. Takut, sedih juga gembira saat pesakit pulih. Ketika itu, beliau selaku ketua jururawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Al-Sultan Abdullah UiTM kampus Puncak Alam.

Setiap kali rasa gementar muncul, perasaan itu lenyap sebaik-baik beliau menyarung seragam. Semangat melawan wabak membara dalam sanubari walau kekhuatiran kuat menghimpit.

“Takut memang takut awalnya. Kita bimbang bawa virus ke rumah. Tapi di hospital, kita ada SOP (tatacara operasi piawai) yang perlu dipatuhi sebelum setiap petugas balik ke rumah," katanya.

Wanita yang kini tinggal di Puncak Alam mengakui lega dan teruja setiap kali pesakit Covid-19 menunjukkan perkembangan positif dan dibenar keluar wad.

“Pandemik adalah satu fasa luar biasa sepanjang saya bergelar jururawat. Memang ada sedikit kejutan kerana rutin harian kita berubah secara drastik.

“Aspek keselamatan sentiasa dititik berat. Saya kuatkan semangat kerana tahu pesakit memerlukan khidmat saya,” katanya dalam program Bicara Semasa bertajuk Jururawat: Wira Tanpa Sinaran Lampu di Media Selangor sempena Hari Jururawat pada 12 Mei.

Selain itu, Ku Intan Ruaida juga pernah menyaksikan kejadian menyayat hati apabila seorang banduan memohon ampun dan mengucup kaki si ibu yang nazak pada 2021.

"Pengurusan hospital atur pertemuan anaknya yang sedang menjalani hukuman di penjara sebaik mengetahui keadaan pesakit semakin merosot dalam tempoh dua minggu.

“Sampai di unit rawatan rapi (ICU), dia terus cium kaki ibunya dan mohon ampun. Tidak lama kemudian, pesakit meninggal dunia. Waktu itu, saya rasa memang ibu tunggu anak dia,” katanya sebak.

Peristiwa tersebut memberi kesan mendalam. Dulu, ibunya bersengkang mata menjaga ibu mentua, kali ini si ibu yang nazak bertemu kembali anak yang terpisahkan dek tirai besi sejak sekian lama.

Ku Intan Ruaida juga menitipkan pesanan kepada rakan setugas supaya memberi layanan baik kepada pesakit dengan penuh ikhlas tanpa rasa jemu. Beliau berpegang teguh kepada prinsip setiap pekerjaan perlu dimulakan dengan niat baik selain yakin menerima ganjaran masa depan.

“Teruskan semangat untuk bekerja sebagai jururawat kerana manfaat kebaikan yang kita beri kepada pesakit, akan berbalik kepada kita. Lakukanlah dengan seikhlas hati,” katanya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.