ad
AGENDA

Fahmi ingatkan calon jaga adab, tiada rombakan Kabinet jika kalah pemilihan

15 Mei 2025, 1:28 AM
Fahmi ingatkan calon jaga adab, tiada rombakan Kabinet jika kalah pemilihan

SHAH ALAM, 15 MEI: Semua calon yang bertanding dalam Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) diingatkan tidak menyebarkan kebencian kepada individu lain ketika berkempen.

Ketua Penerangan KEADILAN Datuk Fahmi Fadzil berkata proses pemilihan perlu dilakukan secara tertib, selain menegaskan lawan sebenar parti adalah pada pilihan raya umum akan datang.

“Sebagai sebuah parti yang lahir di jalanan, KEADILAN sebuah parti yang umpama direbus tak masak, dibakar tak hangus. Itulah semangat kita. Perdana menteri telah berkata walau apa pun tidak akan ada rombakan Kabinet.

“Namun, semua calon mesti menjaga adab dalam memasuki proses pemilihan ini, janganla ada satu keadaan di mana kita memburuk-burukkan, menghina dan merendahkan lawan kita,” katanya.

Berucap pada Program Temu Rapat Akar Umbi Bersama calon Timbalan Presiden KEADILAN Nurul Izzah Anwar malam tadi, Fahmi menyifatkan pemilihan parti sebagai pertandingan adik-beradik.

“Selepas 24 Mei, tidak kira siapa menang atau siapa kalah, kita harus kembali mengumpul seluruh kekuatan untuk berdepan pilihan raya umum.

"Saya percaya kita tak nak serabutkan pemikiran presiden iaitu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana beliau sedang bekerja keras untuk negara,” ujarnya lagi.

Pada masa sama, Fahmi menolak dakwaan pencalonan Nurul Izzah untuk jawatan timbalan presiden berunsur nepotisme.

“Kalau ada mana-mana pihak mengatakan (pencalonan Nurul Izzah) nepotisme, kita kena ingat selama ini beliau dipilih oleh anggota untuk menggalas jawatan naib presiden kecuali pada penggal lalu (dilantik).

“Jadi saya hairan, masa itu paling cocok untuk mengatakan nepotisme adalah pada penggal 2022 banding 2025 di mana Nurul Izzah tidak bertanding tetapi dilantik sebagai naib presiden,” jelasnya.

Pemilihan parti pada 23 Mei ini bermula jam 8 pagi hingga 5 petang menerusi dua kaedah iaitu pengundian fizikal oleh perwakilan Kongres Pusat, Kongres AMK Pusat dan Wanita Pusat, masing-masing di Berjaya Waterfront Hotel dan Danga Bay Convention Centre, Johor Bahru.

Bagi Sabah dan Sarawak, pengundian fizikal dijalankan di International Technology and Commercial Centre (ITCC), Penampang dan Penview Convention Centre, Kuching.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.