Oleh Dewi Abdul Rahman
SHAH ALAM, 14 Mei: Seramai 115 usahawan mendapat manfaat daripada skim pembiayaan khas Platform Selangor (PLATS) Biaya setakat ini.
Ketua Khidmat Korporat Hijrah Selangor Muhammad Azwan Zulkifli berkata masih terdapat 50 kekosongan untuk peserta yang layak memohon dengan jumlah pembiayaan sehingga RM3,000 bagi setiap penerima.
"Pembiayaan sehingga RM3,000 itu boleh dibayar balik dalam tempoh setahun. Permohonan dibuka sejak tahun lalu dan dana ditanggung sepenuhnya oleh Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI.
"Skim juga boleh digunakan untuk iklan di media sosial, pembayaran kepada pempengaruh dan pelbagai promosi lain bagi mengembangkan perniagaan,” katanya kepada Media Selangor.
Pada masa sama, Muhammad Azwan memberitahu inisiatif itu mampu menyokong pertumbuhan usahawan kecil dan sederhana di negeri ini sekali gus meringankan beban mereka.
Kolaborasi antara Hijrah Selangor dan MBI disediakan buat usahawan bawah program Latihan Pembangunan Usahawan Plats (U-PLATS).
"Skim U-PLATS merupakan sokongan padu dan usaha Kerajaan Negeri terhadap pembangunan ekonomi rakyat.
"Usahawan berminat digalakkan segera memohon agar tidak terlepas peluang ini,” tambahnya.
Antara syarat kelayakan permohonanan adalah warganegara Malaysia, telah mengikuti program U-Plats, berumur 18 hingga 65 tahun dan bermaustatin di Selangor.
Maklumat lanjut boleh diperoleh melalui laman web rasmi Yayasan Hijrah Selangor atau hadir secara fizikal ke pejabat MBI Selangor.
PLATS diperkenal pada 2020 bagi melengkapkan ekosistem Agenda Digitalisasi Selangor menerusi platform digital susulan penularan wabak Covid-19.
Inisiatif PLATS Biaya yang dimulakan sejak tahun lalu bertujuan membantu peserta U-PLATS yang memerlukan modal tambahan dalam perniagaan mereka.