BERITA UTAMA

Insentif muassasah tampung belanja 18,000 jemaah haji sejak 2022

14 Mei 2025, 4:00 AM
Insentif muassasah tampung belanja 18,000 jemaah haji sejak 2022
Insentif muassasah tampung belanja 18,000 jemaah haji sejak 2022
Insentif muassasah tampung belanja 18,000 jemaah haji sejak 2022
Insentif muassasah tampung belanja 18,000 jemaah haji sejak 2022

Insentif Muassasah Haji yang diperkenal Kerajaan Negeri sejak 2022 diteruskan lagi tahun ini bagi meringankan beban kewangan yang ditanggung kepada jemaah haji dari Selangor.

Seramai 6,000 orang berpeluang menikmati kemudahan melalui penyaluran sumbangan RM1,000 kepada mereka hasil peruntukan RM6 juta yang dibentang dalam Belanjawan Negeri 2025.

Nilai insentif naik kepada RM1,000 mulai tahun lalu berbanding RM500 pada 2022 dan 2023. Pada 2022, seramai 3,000 jemaah menerima sumbangan itu. Bilangan sama menikmati kemudahan tersebut pada tahun berikutnya. Tahun lalu, bilangan penerima ditambah kepada 6,000 orang.

“Masih ada masa untuk memohon termasuk selepas pulang daripada menunaikan ibadah haji nanti,” kata Ketua Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Ahmad Azri Zainal Nor.

Kesungguhan pentadbiran negeri dalam menyediakan insentif kendalian Yayasan MBI itu ekoran kos menunaikan ibadah berkenaan meningkat saban tahun.

Menurut Tabung Haji (TH), kos seseorang dari kalangan berpendapatan rendah mengerjakan Rukun Islam kelima itu mencecah RM15,000, sederhana (RM23,500) dan tinggi (RM33,000).

Beban kewangan itu merangkumi bantuan RM1,000 yang disediakan TH melalui Bantuan Kewangan Haji (Hafis) secara bersasar kepada jemaah yang pertama kali menunaikan ibadah tersebut.

Selain itu, Kerajaan Selangor meneruskan tajaan penuh kepada 75 bakal jemaah dari kalangan kurang berkemampuan untuk menjadi tetamu Allah di tanah suci itu.

Bilangan tersebut meningkat lebih sekali ganda berbanding iniasitif yang diperkenal pada tahun lalu membabitkan seramai 36 orang. Peruntukan RM1.2 juta disediakan bagi menjayakan usaha itu.

“Saya berharap usaha ini dapat memudahkan urusan perjalanan bagi para jemaah yang bakal meraikan dhuyufurrahman pada tahun ini,” kata Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari.

[caption id="attachment_697615" align="aligncenter" width="758"] Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan bersalaman dengan bakal jemaah haji ketika majlis penyempurnaan Kursus Perdana Haji (KPH) peringkat negeri Selangor 1446H di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 20 April 2025. Turut bersama Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR[/caption]

Tajaan itu susulan titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj pada 2024 yang mahu jemaah kurang berkemampuan dari sembilan daerah dibantu menunaikan haji.

Daripada 31,600 jemaah haji seluruh negara pada tahun ini, seramai 8,338 orang dari Selangor. Angka itu bertambah 277 orang berbanding 8,061 pada 2024.

[caption id="attachment_678043" align="aligncenter" width="776"] Jemaah haji wanita kumpulan pertama melambaikan tangan sebelum berlepas ke tanah suci dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 12 tengah malam 8 Mei 2024. Foto BERNAMA[/caption]