ad
AGENDA

KDN beri jaminan kebajikan keluarga, anggota terlibat dijaga, siasatan terperinci dijalankan

13 Mei 2025, 12:00 PM
KDN beri jaminan kebajikan keluarga, anggota terlibat dijaga, siasatan terperinci dijalankan
KDN beri jaminan kebajikan keluarga, anggota terlibat dijaga, siasatan terperinci dijalankan

PUTRAJAYA, 13 MEI: Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan menguruskan segala urusan berkaitan kemalangan maut membabitkan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di Jalan Chikus-Sungai Lampam, Teluk Intan, Perak dengan segera dan menyeluruh.

Menterinya Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dalam kenyataan berkata ia termasuk siasatan terperinci oleh pihak berkuasa bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.

Beliau berkata KDN turut memberi jaminan bahawa kebajikan keluarga dan anggota terlibat akan dijaga dengan sewajarnya.

“Kemalangan ini adalah satu insiden tragis dan amat menyayat hati buat saya dan seluruh rakyat Malaysia, melibatkan sebuah lori muatan batu dan sebuah trak FRU yang sedang dalam perjalanan pulang selepas selesai menjalankan tugasan rasmi.

“Semua anggota FRU ini telah menunaikan tanggungjawab mereka dengan penuh dedikasi dan keberanian demi menjaga keselamatan serta ketenteraman awam negara. Pemergian mereka satu kehilangan besar buat negara dan akan sentiasa dikenang sebagai contoh keberanian dan jasa yang tidak ternilai," katanya.

[caption id="attachment_700873" align="aligncenter" width="756"] Foto Facebook Polis Diraja Malaysia ( Royal Malaysia Police )[/caption]

Saifuddin Nasution berkata seluruh warga kementerian menzahirkan rasa dukacita dan ucapan takziah kepada keluarga kesemua anggota yang terlibat khususnya waris sembilan anggota yang terkorban.

“Kehilangan insan tersayang dalam sekelip mata adalah dugaan yang sangat berat dan saya mendoakan agar semua ahli keluarga yang terlibat diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi detik mencabar ini.

“Marilah kita sama-sama mendoakan agar roh mereka yang terkorban dicucuri rahmat Allah SWT dan ditempatkan dalam kalangan para syuhada serta solihin. Semoga mereka yang masih dirawat diberikan kesembuhan segera,” katanya.

Sembilan anggota FRU dari Unit 5 Ipoh maut dalam nahas di Jalan Chikus-Sungai Lampam pada 8.50 pagi tadi ketia konvoi pasukan itu dalam perjalanan pulang selepas bertugas sempena sambutan Chitirai Pournami di Teluk Intan.

Lapan maut di tempat kejadian manakala seorang lagi meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Teluk Intan.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.