ad
AGENDA

Lelaki dera anak saudara tiga tahun kerana sering menangis

12 Mei 2025, 3:03 PM
Lelaki dera anak saudara tiga tahun kerana sering menangis

KEPALA BATAS, 12 MEI: Polis menahan seorang lelaki berusia 34 tahun bagi membantu siasatan kes penderaan kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun, yang juga anak saudaranya, di Pulau Mertajam, Penaga, di sini Jumaat lepas.

Timbalan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) Supt C. Tharmalingam berkata suspek ditahan kira-kira pukul 12 tengah hari semalam di Bertam susulan laporan polis yang dibuat bapa mangsa.

“Siasatan awal mendapati bapa mangsa yang bekerja dan tinggal di Kelantan menghubungi anaknya melalui panggilan video pada hari kejadian sebelum terlihat bekas abang iparnya merotan kanak-kanak itu.

“Ketika itu, mangsa dilihat menangis manakala suspek tinggal serumah dengan bekas isterinya (ibu mangsa),” katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata pemeriksaan oleh doktor mendapati terdapat kesan lebam di kaki kanak-kanak itu dan lelaki terbabit mendakwa tindakan merotan bukan bertujuan mendera, sebaliknya kerana mangsa sering menangis.

Tharmalingam berkata suspek direman empat hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

-- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.