ad
AGENDA

Kerajaan disaran haram cecair rokok elektronik luar negara, perkukuh penguatkuasaan

12 Mei 2025, 9:34 AM
Kerajaan disaran haram cecair rokok elektronik luar negara, perkukuh penguatkuasaan
Kerajaan disaran haram cecair rokok elektronik luar negara, perkukuh penguatkuasaan

SHAH ALAM, 12 MEI: Pengeluar utama rokok elektronik jenama tempatan, Nanostix Innovations Sdn Bhd menyarankan kerajaan mengharamkan cecair dari luar negara sebagai langkah kawalan yang lebih tegas.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Shahabudeen Jalil berkata tindakan tersebut bagi memastikan hanya produk yang memenuhi kualiti dan piawaian keselamatan ditawarkan kepada pengguna tempatan.

“Langkah sekatan import ini juga mampu mengawal lambakan produk tidak berdaftar di pasaran serta memberi ruang kepada pengusaha tempatan yang mematuhi peraturan untuk berkembang secara lebih bertanggungjawab.

[caption id="attachment_700701" align="alignleft" width="382"] .Ketua Pegawai Eksekutif Nanostix Innovations Sdn Bhd Shahabudeen Jalil. Foto Nanostix[/caption]

“Ia sejajar dengan hasrat kerajaan memperkukuh penguatkuasaan dan melindungi kesihatan awam, khususnya generasi muda yang semakin terdedah kepada penggunaan rokok elektronik secara meluas,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Shahabudeen menambah, pihaknya memandang serius terhadap cadangan beberapa negeri untuk melarang penjualan meski Akta Kawalan Produk Merokok untuk Kesihatan Awam (Akta 852) telah diluluskan.

Menurutnya, mengharamkan penjualan rokok elektronik hanya akan melemahkan industri sekali gus menyuburkan pasaran gelap pada masa akan datang.

“Nanostix juga berpandangan isu sebenar yang perlu diberi perhatian ialah penyalahgunaan rokok elektronik oleh pihak tidak bertanggungjawab dengan memasukkan atau menyeludup masuk bahan terlarang seperti 'Vape Magic Mushroom' ke Malaysia.

“Malah, bahan terlarang itu kini dijual secara terbuka di media sosial oleh pihak tidak bertanggungjawab dan ia bukannya produk yang dijual oleh syarikat tempatan yang sah,” katanya.

Pada bulan lalu, Kerajaan Selangor mengumumkan sedang meneliti secara menyeluruh cadangan untuk mengharamkan penjualan rokok elektronik.

Sebelum itu, kerajaan Terengganu melarang penjualan produk rokok elektronik di semua premis perniagaan dalam kawasan pihak berkuasa tempatan di seluruh negeri berkenaan mulai 1 Ogos depan.

Kerajaan Johor turut melarang dan tidak mengeluarkan sebarang kebenaran lesen penjualan sejak 1 Januari 2016, serta menguatkuasakan undang-undang melarang menghisap vape termasuk mengambil tindakan terhadap peniaga yang didapati melakukan urusan jual beli peranti berkenaan.

Terdahulu, Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay dilapor berkata, pentadbiran negeri boleh mengambil tindakan mengharamkan penjualan rokok elektronik yang boleh menjurus kepada penyalahgunaan dadah sintetik baharu.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.