SHAH ALAM, 12 MEI: Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) mengeluarkan 24 kompaun dan menyita tiga barang perniagaan menerusi Operasi Premis Warga Asing, Khamis lalu.
MDSB menerusi Facebook memaklumlan operasi dijalankan di premis perniagaan sekitar Pekan Sungai Besar, Bagan Sungai Besar dan Bagan Nakhoda Omar bermula 5.30 petang hingga 1 pagi.
“Seramai 14 anggota daripada Jabatan Penguatkuasaan, Jabatan Pelesenan dan Jabatan Perkhidmatan dan Persekitaran MDSB menjalankan operasi selepas menerima aduan awam.
“Antara kesalahan yang dikenakan kompaun adalah melibatkan kebersihan premis makanan, suntikan tifoid, salah guna lesen dan ingkar arahan penggantungan lesen,” katanya.
Pada 2020, Kerajaan Selangor meluluskan pindaan Undang-Undang Kecil (UUK) Penjaja 2007 bagi melarang mana-mana warga asing berniaga di negeri ini.
Menerusi pindaan itu, Kerajaan Negeri turut membuat penyelarasan melibatkan semua 12 pihak berkuasa tempatan (PBT) berkaitan dengan syarat lesen penjaja.


