ad
AGENDA

Polis tahan tiga lelaki disyaki samun sebuah rumah di Felda Jengka

11 Mei 2025, 12:02 PM
Polis tahan tiga lelaki disyaki samun sebuah rumah di Felda Jengka

KUANTAN, 11 MEI: Tiga lelaki yang disyaki melakukan kegiatan samun di sebuah rumah di Felda Jengka 8, Maran ditahan semalam.

Ketua Polis Daerah Maran Supt Wong Kim Wai berkata tangkapan pertama melibatkan dua suspek berusia 29 dan 51 tahun, telah dibuat di Jerantut pada 12 tengah hari manakala seorang lagi lelaki berumur 30 tahun diberkas di Maran pada 2.15 petang.

Beliau berkata dalam kejadian kira-kira 9 malam Jumaat lepas, mangsa lelaki berusia 34 tahun dikejutkan dengan kehadiran suspek yang berada di bahagian dapur rumahnya dengan seorang daripada mereka memegang pisau.

“Mangsa kemudian telah diikat menggunakan tali nylon dan tali pinggang sebelum suspek bertindak melarikan sebuah kenderaan jenis Proton Saga FLX, wang tunai dan barang kemas dengan anggaran kerugian sebanyak RM16,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Wong berkata mangsa berjaya melepaskan ikatan pada tangan dan kaki sebelum keluar rumah meminta bantuan orang kampung.

“Kesemua suspek yang mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah itu telah ditahan dalam tempoh kurang daripada 15 jam selepas kejadian dilaporkan," katanya dan menambah kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.