SHAH ALAM, 10 MEI: Yayasan Seni Selangor Darul Ehsan tampil dengan kelainan apabila mempamerkan 56 karya seni menggunakan elemen bitumen, bahan yang biasa digunakan dalam pembuatan jalan raya, di Galeri Shah Alam.
Pengarah Galeri Shah Alam Badrul Kahar Mohd Yusof berkata, pameran bertemakan "Tarscape: Perjalanan Ekspresi" itu menghimpunkan 16 artis daripada pelbagai latar belakang, termasuk seorang peserta dari Itali.
“Mereka yang terlibat datang dari pelbagai latar belakang, bukan hanya terdiri daripada penggiat seni. Kali ini, kami memilih elemen bitumen yang lazim digunakan dalam pembuatan jalan raya setelah berbincang dengan beberapa pihak.
[caption id="attachment_700385" align="aligncenter" width="667"] Pameran Seni Visual bertajuk TARSCAPES: Journeys of Expression di Galeri Shah Alam pada 10 Mei 2025. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR[/caption]
“Bitumen jarang digunakan dalam seni kerana sifatnya yang sukar dikendalikan. Namun, Galeri Shah Alam membawa kelainan. Kita tidak mahu hanya mempamerkan karya seni yang menggunakan cat air atau cat minyak semata-mata.
“Pameran ini memberi pendedahan kepada masyarakat tentang hasil karya berasaskan bitumen yang biasanya digunakan untuk membina jalan, tetapi kini diolah menjadi lukisan dengan campuran minyak tanah,” katanya ketika ditemui pada pameran tersebut, hari ini.
Terdahulu, pameran yang berlangsung dari 14 April hingga 30 Mei di Galeri Shah Alam itu telah dirasmikan oleh penulis merangkap pengumpul seni, Nik Mohd Fahmee.
Antara artis yang terlibat termasuk Abdul Hamid Mohamed, Alessia Dona, Alias Yussof, Eng Seong Lim, dan Liza Othman.
[caption id="attachment_700386" align="aligncenter" width="687"] Penulis dan Pengumpul Seni, Nik Mohd Fahmee (kiri) dan Pengarah Yayasan Seni Selangor Badrul Kahar Mohd Yusof melihat lukisan ketika Pameran Seni Visual bertajuk TARSCAPES: Journeys of Expression di Galeri Shah Alam pada 10 Mei 2025. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR[/caption]
Mengulas lanjut, Badrul Kahar berharap pameran itu dapat menjadi inspirasi kepada golongan muda untuk menghasilkan karya yang lebih kreatif dan berbeza.
“Karya-karya yang dipamerkan membawa pelbagai tafsiran berkaitan alam semula jadi, manusia, bangunan, dan budaya.
“Kami mengalu-alukan kehadiran semua pengunjung, khususnya golongan muda, agar mereka lebih terdedah kepada seni lukis yang menggunakan elemen luar kebiasaan,” ujarnya.