Oleh Syaza Atikah Ibrahim
SHAH ALAM, 10 MEI: Pemain Selangor FC Faisal Halim bertekad kembali fokus mengejar impiannya sejak kecil untuk menjadi pemain terbaik negara.
Mengakui kecewa selepas kes disimbah asid diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA), beliau reda dengan perkara yang telah terjadi dan berharap tiada lagi pihak yang menganiaya dirinya.
"Sebagai mangsa, saya kecewa. Benda pun dah jadi, dah lepas . Saya harap sangat diberi peluang untuk kembali dalam kancah bola sepak.
"Kalau ada yang tidak kena dengan saya, beritahu saya. Jangan aniaya saya. Impian saya sejak kecil hanya untuk menjadi pemain terbaik. Saya rasa saya tiada salah silap dengan sesiapa," katanya dalam video di Kosmo! Online.
Faisal turut meluahkan kekeliruan terhadap motif kejadian yang menimpanya, sambil menegaskan bahawa beliau tidak mempunyai sebarang persengketaan dengan mana-mana pihak.
Tambah Faisal, karier yang telah dibina bukan semata-mata mengejar kesenangan, namun demi mencapai kejayaan sebagai pemain terbaik.
"Saya orang kampung. Saya susah di kampung. Saya jadi pemain bola bukan untuk kejar kesenangan, tapi untuk capai kejayaan," katanya.
Pada 5 Mei tahun lalu, Faisal disimbah asid oleh individu yang tidak dikenali ketika berada di sebuah pusat beli-belah di Kota Damansara.
Pemain sayap Selangor FC itu mengalami lecur tahap empat dan menjalani beberapa siri pembedahan serta rawatan fisioterapi.
[caption id="attachment_700392" align="aligncenter" width="692"] Pemain Selangor FC Faisal Halim bercakap dalam sidang media khas di Pusat Latihan Selangor FC, Shah Alam pada 13 Jun 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI[/caption]