ad
AGENSI

Mais: Program pulih akidah bekas ahli GISBH menyeluruh

9 Mei 2025, 4:00 AM
Mais: Program pulih akidah bekas ahli GISBH menyeluruh
Mais: Program pulih akidah bekas ahli GISBH menyeluruh
Mais: Program pulih akidah bekas ahli GISBH menyeluruh

SHAH ALAM, 9 MEI: Program pemulihan akidah bekas ahli GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) meliputi segenap aspek termasuk pengajian al-Quran, akidah, tasawuf dan fikah.

Setiausaha Majlis Agama Islam Selangor (Mais) berkata agensi itu melalui Mesyuarat Jawatankuasa Riqab pada 4 Februari lalu, meluluskan program pemulihan akidah bekas ahli GISBH menerusi Program Insan Rabbani.

“Program ini bertujuan memulihkan akidah ahli GISBH selaras fatwa Selangor yang diwartakan pada 16 Oktober 2024 iaitu fahaman, ajaran atau amalan ahli GISBH dan rangkaiannya menyeleweng daripada ajaran Islam sebenar menurut pegangan Ahli Sunah Waljamaah,” kata Dr Ahmad Shahir Makhtar menerusi kenyataan.

[caption id="attachment_566930" align="alignleft" width="344"] Setiausaha Majlis Agama Islam Selangor (Mais) Dr Ahmad Shahir Makhtar[/caption]

Jelas beliau, Program Insan Rabbani adalah salah satu program pemulihan Mais yang menumpukan kepada pemulihan akidah bekas ahli GISBH dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) yang dilaksanakan bermula 15 Februari hingga Ogos depan.

“Ia melibatkan 24 siri, selama empat jam setiap Ahad di empat lokasi iaitu Sekolah Rendah Agama (SRA) Country Homes, Rawang; Masjid Sultan Abdul Aziz Shah, Shah Alam; SRA Sijangkang, Kuala Langat dan SRA Sungai Kantan, Kajang.

“Sebanyak 51 guru bertauliah terlibat dengan program ini dan pengisian program merujuk kepada Modul Istitabah yang diluluskan Mais pada 2013 yang memberi fokus kepada pengajian ilmu al-Quran, akidah, tasawuf dan fikah kepada individu dewasa bekas ahli GISBH,” katanya.

Menurutnya lagi, bagi pengajian al-Quran, peserta belajar mendalami ilmu al-Quran termasuk tajwid untuk memahami al-Quran dan menambah baik bacaan al-Quran.

“Manakala, pengajian akidah merangkumi asas ilmu akidah dan pemahaman yang benar tentang sifat Allah, Rasul serta yang berkaitan dengannya, pengajian tasawuf merangkumi penyucian hati dan sifat mahmudah serta pengajian fikah pula merangkumi solat dan perkara berkaitan berdasarkan mazhab Imam Syafie,” katanya.

[caption id="attachment_666059" align="alignnone" width="851"] Mahkamah Majistret Shah Alam membenarkan permohonan sambung reman selama empat hari terhadap 24 individu termasuk pemimpin kanan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) pada 25 September 2024. Foto BERNAMA[/caption]

Ahmad Shahir menjelaskan untuk kanak-kanak bekas ahli GISBH, Modul Pendidikan Insani Jais digunakan bertujuan membentuk keperibadian dan mengembangkan potensi kanak-kanak secara menyeluruh dan bersepadu berlandaskan wahyu Allah dan sunnah Rasulullah dengan pengisian akidah, ibadah dan akhlak.

Sehubungan itu, katanya hantaran di media sosial yang menyatakan proses pemulihan akidah bekas ahli GISBH hanya tertumpu kepada pengajian tajwid semata-mata adalah tidak berasas dan tidak tepat.

“Mais mengingatkan orang ramai supaya mendapatkan fakta sebenar sebelum mengeluarkan kenyataan atau tohmahan terhadap Mais bagi mengelakkan sebarang kekeliruan kepada umat Islam,” katanya.

Baru-baru ini tular tangkap layar di media sosial mendakwa program pemulihan akidah bekas ahli GISBH hanya tertumpu kepada pengajian tajwid yang menimbulkan reaksi pelbagai pihak.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.