KUALA LANGAT, 8 MEI: Seramai 500 pemilik unit Pangsapuri Permai, Gombak yang berdepan masalah milikan hartanah sejak sekian lama bakal menarik nafas lega apabila menerima bantuan awal strata.
EXCO perumahan berkata komuniti itu menjadi kumpulan pertama mendapat bantuan Tabung Penyelesaian Strata yang diperkenalkan tahun ini sekali gus menjamin aset masing-masing.
Berdasarkan data, Datuk Borhan Aman Shah berkata kira-kira 10,000 pemilik unit lagi yang berdepan masalah sama akan dibantu sepanjang tahun ini.
“Secara keseluruhan kita dapati kira-kira 138,000 unit yang berdepan masalah milikan aset. Jadi tahun ini kita peruntuk RM10 juta untuk bantuan memandangkan masalah ini dihadapi sejak puluhan tahun.
“Bantuan diutamakan kepada pangsapuri yang prosesnya (pemilikan) hampir selesai. Ada yang sudah tahap 70,80 peratus. Jadi urusan jadi mudah,” beliau berkata demikian selepas program komuniti anjuran Permodalan Negeri Selangor Berhad dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia di Kampung Endah, dekat sini.
Ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2025 Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sejumlah RM10 juta diperuntuk bagi dana awalan Tabung Penyelesaian Strata.
Menurut Amirudin peruntukan khas itu dicadang untuk membantu meningkatkan peratusan penyelesaian pembangunan tanpa hak milik strata di Selangor khususnya skim yang tidak layak untuk memohon peruntukan daripada tabung khas hak milik strata.
Susulan itu, Jawatankuasa Tetap Perumahan membentuk pasukan khas termasuk melibatkan beberapa agensi bagi meneliti perkara berkenaan.