SHAH ALAM, 6 MEI: Sebanyak 19 daripada 22 ketua cabang KEADILAN Selangor menyokong pencalonan Nurul Izzah Anwar sebagai timbalan presiden parti.
Menerusi kenyataan bersama, pemilihan Nurul Izzah diyakini akan membentuk semula barisan yang kuat, menyemai semula kepercayaan rakyat, dan memastikan KEADILAN kekal relevan, progresif dan berwibawa.
Kenyataan itu menyebut, Selangor memerlukan barisan kepimpinan yang bukan sahaja memahami akar sejarah reformasi parti tetapi juga mampu memperkukuh struktur dalaman menjelang pilihan raya umum akan datang.
Nurul Izzah dilihat sebagai tokoh yang bersedia memberi fokus penuh kepada kekuatan parti kerana tidak memegang jawatan dalam pentadbiran kerajaan.
“Parti ini perlu seorang timbalan presiden yang tidak terikat dalam pentadbiran kerajaan, tetapi boleh memberi fokus kepada mengukuhkan kekuatan dalaman parti,” jelas kenyataan itu.
Mereka turut menegaskan bahawa Nurul Izzah merupakan sosok yang telah berjuang sejak awal gerakan reformasi dan membuktikan kewibawaannya sebagai ahli parlimen dan bekas naib presiden parti.
"Dengan penuh rasa tanggungjawab, kami berdiri teguh bersama Nurul Izzah. Semoga pencalonan ini menjadi permulaan kepada babak baharu perjuangan KEADILAN yang lebih bersatu, matang dan membina," katanya.
Kenyataan menyokong itu dikeluarkan Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Negeri Dato' Seri Amirudin Shari merangkap ketua cabang Gombak; Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan Keadilan Negeri Datuk Borhan Aman Shah merangkap ketua cabang Sepang dan Naib Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Hee Loy Sian merangkap ketua cabang Petaling Jaya.
Ketua cabang lain ialah Mohd Najwan Halimi (Shah Alam), Ahmad Mustain Othman (Sabak Bernam), Azhar Achil (Sungai Besar), Dr Sathia Prakash Nadarajan (Hulu Selangor), M Sivabalan (Kuala Selangor), Syed Ahmad Abdul Rahman Alhadad (Ampang), M Rajendra Kumar (Hulu Langat), Lim Kim Eng (Bangi), Zaihari Jaafar (Puchong), M Pravin (Subang), Elizabeth Wong (Damansara), Datuk R Ramanan (Sungai Buloh), Datuk Seri Azizi Ayob (Kapar), Azmizam Zaman Huri (Klang), G Gunarajah (Kota Raja) dan Mohd Afiq Tuniman (Kuala Langat).








